Sunday, June 17, 2018




[SELAMAT HARI BAPA-AL FATIHAH untuk BAPAK SAYA ARWAH TALIP SARYO]
.
Bagi saya lelaki yang paling saya sayangi di dunia ni ialah arwah bapak saya Talip Saryo. Tiada gantinya sampai hari ini. Arwah bapak yang paling istimewa ialah kesabarannya. Kesabaran dia terlalu tinggi sehingga kami adik beradik nakal macamana pun tak pernah kena pukul, kena herdik atau kena maki. Dengan arwah mak, macamana mak buat masa sakit kena sihir, mengamuk, memukul, menendang, memaki hamun bagai tapi arwah bapak tetap sabar tak pernah naik tangan kat mak dan tak pernah nak ceraikan mak. Sedangkan masa tu arwah bapak tak tahu pun mak kena sihir. Kalau lelaki lain dah lama bercerai berai. 
.
Kami sampai tanya sebab tak tahan dengan mak ‘Pak kenapa tak ceraikan mak?’ sebab kami pun tak tahan kena pukul. Bapak kata ‘Nanti mak nak duduk mana, nanti dia duduk kat rumah ni jugak, berdosa aje nanti sebab dah bukan suami isteri’. Subhanallah memang teramat sabar orangnya.
.
Masa mak sakit tu macam macam mak buat hingga jadi buat mulut orang kampung Melayu Raya tu. Macam orang kampung lain, kampung kami pun suka membawang. So kami sekeluarga macam dipulaukan, sedih sampai malas nak campur orang kampung. Tapi arwah bapak sabar tahap gaban, still tolong kenduri, gi rewang, urus dan ziarah kematian. Arwah bapak ada sijil agama, dan awalnya selalu jugak dapat jemputan jadi tukang pimpin tahlil dan kenduri tapi bila arwah mak sakit, dah kurang jemputan sebab orang dah start asyik mengata kat belakang. Sebab mak sakit tak nampak kat luaran tapi lebih pada serangan emosi dan mental, so orang kampung pun tak tahu dia sakit kena sihir.
.
Saya masih ingat, hidup kami susah so bapak bila lepas tolong rewang kat kenduri, arwah bapak kutip makanan lebih orang makan, pack dan bawak balik ke rumah. Kadang kadang bapak suruh kami datang kat kenduri tu dan tunggu bapak kat tepi khemah rewang tu nak makan. Bapak bagi nasi dan lauk lauk lebihan orang makan untuk dimakan kami adik beradik. Itupun orang kampung mengata arwah bapak curi makanan. Arwah bapak tak peduli pun, dia buat aje kerja dia. Kesiannya kat bapak. Sebab kami orang miskin orang kampung pandang sepi jer kat kita orang kekadang nak sebatang bunga manggar pun tak dapat walaupun dok berebut nak bila depa bagi bagikan pada anak anak orang lain. Budak kecilkan jangan main main sampai sekarang pun ingat tau. Time kenduri gak kami suka kutip batang ais krim yg budak budak kampung buang ..so kami berangan dapat makan ais krim banyak dengan jumlah batang ice cream yang kami kumpul 😂. Kami ada dalam dunia kami sendiri. 
.
So bila kak Co kakak no4 dapat buat medic, saya masih ingat, arwah bapak menangis teresak2. Dia kata, bapak tak tahu anak bapak pandai dan masa saya nak ke UK buat PhD pun saya nampak arwah bapak sangat bangga masa dia hantar kat AirPort. Cuma yang tak tahan arwah bapak ada kata 'Entah dapat jumpa lagi ke tidak'. Memang saya dapat balik sekali ke Malaysia untuk field study tapi itulah kali terakhir bertemu arwah bapak. 
.
So kita semua ada bapak masing masing kan, hargailah mereka walau macamana mereka pun sebab itulah bapak yang Allah kurniakan untuk kita. Tanpa dia tiadalah kita di dunia ni. Seperti anak anak saya yang tidak mendapat kasih sayang seorang bapak but yet mereka masih perlu menghormati dan menghargai bapa mereka walau macamana pun keadaannya. Kesian gak kat anak anak saya sebab mereka tidak tahu betapa bestnya ada seorang ayah.
.
Masa kecik2 masih ingat permainan 'cang gelucang' yang bapak saya suka main dengan kami, simple aje tapi ma shaa Allah sangat enjoy. Cang gelucang tu ialah duduk kat kaki bapak, dan bapak akan angkat kita orang bergilir gilir sambil kita orang ketawa mengekek-ngekek dan jadikan lutut bapak tempat berpegang, bapak baring so bila bapak angkat kaki kita orang macam rasa nak terbang. Saya pandai menulis, mengira dan mengaji Quran pun atas usaha arwah bapak sampai masa darjah satu saya dah pandai macam2 walaupun tak bersekolah tadika. Cuma Bahasa Inggeris saya teruk sebab arwah bapak pun tak reti nak ajar Bahasa Inggeris. Bapaklah yang carikan saya katak dan tikus masa saya form six dalam aliran sains untuk subjek Biologi, bapak tangkap kat bilik air, kat bawah rumah dan saya hanya tunggu bapak bawak balik katak. Untuk tikus bapak akhirnya belikan tikus putih untuk dibela sebab susah sangat nak dapat tikus kampung. Bila saya kena buat rawatan gigi dulu, arwah bapaklah yang bawak saya ke Muar ulang alik ke Hospital Muar untuk jumpa pakar gigi. Bila saya nak kerja kilang kat Sedeng, Segamat time cuti semester, arwah bapak juga yang ulang alik jemput dan hantar sebab motor tak cukup nak digunakan. Bila mak membebel bisingkan saya, bapaklah yang selalu back up saya, walaupun nanti bapak kena marah dengan mak balik.
.
Arwah bapak pun selalu bawak kami ke kebun getah untuk ajar menoreh getah dan menanam semula getah. Walaupun penat tapi tak tahulah bila berkenaan bapak mesti semangat aje. Alhamdulillah saya direzekikan bapak yang sangat baik dan sabar. Bapak yang penyayang dan sangat rajin serta kreatif. Sebelum air masuk kampung, rumah kami dah ada paip, arwah bapak buat sendiri, hebatkan. Sebab kepandaian dia orang kampung gelar bapak Talip Kancil, special gelaran ni. Sebab apa Kancil? Kan Kancil dalam cerita penglipur raya rakyat, amat pandai dan bijak. Dahulu arwah mak yang mulakan gelaran nama Idot untuk saya sebab sempena nama Faridah yang arwah nak namakan saya tapi sebab tak dapat mak panggil saya Idot asal daripada Idah. Bila dah besar, saya cakap dengan bapak yang saya tak suka nama tu, dan boleh ke nak tukar jadi ateh. Bapak ketawa dan terus aje setuju dan sejak itu keluarga panggil saya ateh sebab bapak kata, dia tak suka nama Idot. Alahai sportingnya bapak.
.
Masa dah berlalu, bapak pun dah tak ada, rindu? Hanya Allah yang tahu dan semoga saya boleh menjadi anak yang baik walaupun arwah bapak dah tak ada. Semoga Allah kurniakan rezeki untuk bertemu bapak di syurga nanti. Moga kita semua menghargai seorang insan yang bernama bapa, bapak, ayah, daddy, papa, Abi, walid dan sebagainya. Tanpa dia, tiada kita di dunia ini. 
.

#letpassionleadyou

Sunday, June 10, 2018


[SERUNDING DAGING DAN WAFER COKLAT UNTUK ARWAH BAPAK DAN MAK]
Dulu arwah bapak saya suka sangat serunding daging kering dan dia selalu pesan kat saya 'Ateh kalau balik belikan bapak serunding daging kering eh'. 'Bapak dah tak selera nak makan lauk-lauk ni, kalau ada serunding boleh aje makan dengan nasi kosong'. So setiap kali balik kampung saya akan belikan bapak serunding daging kering. Tak bagi kat mak sebab mak tabiat dia suka simpan dan tak makan, akhirnya benda tu jadi busuk dan tak elok. Cuma mak ni suka wafer coklat, so setiap kali balik mesti bawakkan bapak serunding daging kering dan mak wafer coklat. Satu lagi saya mesti bawak arwah mak dan bapak shopping kat UPWell Segamat, shopping barang barang makanan kering aje, yang dia orang boleh simpan buat stok. Perasaannya bahagia sangat masa tu.
Sampai satu ketika arwah bapak kata 'Ateh tak payahlah belikan bapak serunding dah, perut bapak dah alah dengan rempahlah, berak-berak kalau makan benda berempah' Sedih sangat sebab kita dah hilang satu favourite dia, yang kita seeronok nak belikan. Arwah mak pulak bila dia start tak boleh makan wafer, tu dia cakap perut mak senak kalau makan jajan (istilah snack food untuk orang Jawa), sedih sangat sebab itu tanda dia dah mula tak sihat, kalau tak mak memang boleh makan banyak wafer tu. Masa sebelum meninggal mak masih makan apa apa yang saya masak terutama sup kaki ayam, memang dia sangat suka. Tapi sangat sedih bila di saat hujung usianya, saya masak sup kaki ayam mak dah tak selera nak makan apa-apa 😭
Arwah bapak tak pernah mintak belikan beg tapi sebab saya tengok dia suka beg galas yang boleh silangkan so saya belikan satu untuk dia, dan saya belikan wallet untuk bapak sebab wallet dia dah koyak. Masa saya balik Malaysia nak collect samples, saya serahkan kat dia, dia kata 'Ateh jangan bazir duit, kan susah kat sana tak cukup duit''Tapi bapak sukakan?''Sukalah anak bagi' Dia jawab sambil ketawa. Saya tak sangka itulah pertemuan terakhir saya sebab arwah bapak meninggal pada April 2006 sebelum saya sempat balik Malaysia pada Disember 2006. Dan masa bapak meninggal beg galas dan wallet yang saya belikan itulah yang arwah bapak bawak ke sana sini, dan dalamnya ada gambar anak saya Iman Hani Naziehah Husaini yang dia tak sempat jumpa pun sebab Iman lahir di UK dan saya tak ada duit nak balik Malaysia, tunggu habis belajar baru nak tunjuk cucu kat arwah bapak. Saya kirim gambar tu masa Ramadhan tahun tu bersama kad raya yang saya buat ada gambar Iman. Bila arwah bapak dah meninggal saya balik kampung, saya tengok kad raya dengan gambar Hani tu dia gantung kad dinding...sedihhhhhhhhh. Nampak sangat bapak sayangkan cucu dia walaupun tak pernah jumpa lagi.
Point saya kat sini, hargailah ibu bapa kita selagi ada, sebab kita tak tahu sampai bila Allah pinjamkan mereka pada kita. Tunaikan hajat mereka sebaik mungkin kerana kita tak tahu bila kita dah tak boleh tunaikan hajat mereka. Bila ibubapa kita berhajatkan sesuatu yang kita memang mampu buat, kabulkan aje tanpa apa2 sungutan atau menangguhkannya. Sebab sangat sedih bila mereka dah tiada apa apa hajat mereka tak dapat lagi kita tunaikan. 😭
Saya teringat dulu pernah bersembang dengan arwah bapak sebelum keluar negara untuk PhD 'Nanti ateh dah berjaya bolehlah bagi bapak RM400.00 sebulan' Kata bapak sambil berseloroh. "Boleh, in shaa Allah' Saya kata. Bila balik selsai PhD dan bekerja arwah bapak dah tak ada, so saya jadikan RM400.00 tiap-tiap bulan tu sebagai wakaf bulanan tapi saya bahagikan RM200 untuk mak dan RM200 untuk bapak. Janji saya pada bapak, cuma tahun ini saya baru dapat laksanakan betul-betul dan consistent sebab baru jumpa pihak yang betul-betul boleh melaksanakannya dengan baik pada masjid yang lebih memerlukan. Kat Bangi ni masjid rata rata kaya, kurang afdhal serahkan kat sini. Semoga ini menjadi hadiah bulanan menggantikan serunding dan wafer coklat untuk arwah bapak dan mak. Doakan rezeki saya bertambah untuk saya tambah lagi hadiah untuk mereka. Rindunya kat arwah....
Al-Fatihah untuk arwah Talip Saryo dan Mariaton Bahari, semoga Allah tempatkan mereka di kalangan ruh orang-orang soleh. Aamiin ya Mujib.

Doa Ashabul Kahfi

Perkongsian Ustazah Asma Harun pada pagi 22.11.21 mengenai Doa Ashabul Kahfi daripada Ayat 10 Surah Al Kahfi. Jika kita ditimpa masalah bes...