Sunday, October 28, 2018



AIRMATA BIZ DEXANDRA

Saya mula aktif dengan DeXandra ialah pada sekitar April 2016, ketika saya sudah terbuka hati mahu betul-betul berjaya dalam bisnes ini. Saya bermula dengan sekadar mendaftar tetapi tidak ada inisiatif nak maju ke hadapan, sepertimana bisnes lain yang saya ceburi, saya menemui kegagalan. Bisnes baju muslimah yang saya tukarkan ke bisnes bridal atas kehendak bekas suami lingkup macam tu aje, bisnes Phytoscience yang saya cuba juga tak menjadi, kemudian saya cuba lagi bisnes busana muslimah di Bangi Gateway juga hancur kerana saya tak dapat fokus kepada kiosk yang dibuka. Tapi kerana saya ni darah bisnes memang ada, mungkin ikut darah arwah mak sebab muka saya pun memang macam rumah arwah nenak sebelah mak, so pasal berniaga saya tidak pernah berhenti mencuba.
.
Semasa bisnes bridal yang diusahakan bekas suami hampir gagal, saya hadiri satu seminar FB ads oleh Sifu Jamal, dan disitulah saya temui semula Puan Ernayanee Nur Julaimi yang saya kenal pada tahun 2014 ketika Seminar RKMJ oleh Dr Azizan Osman di Kuala Lumpur. Puan Erna duduk betul-betul di belakang saya. Masa sesi pagi saya segan nak tegur tapi pada sesi petang saya beranikan menegur, masa tu dia bersama Puan Ezureen dan suami Mr Safwan. Baik aje dia sahut teguran saya dengan penuh mesra dan dia ajak saya datang ke kedai beliau di Jalan Reko.
.
Selepas seminar tu, dalam tahun awal 2015 saya cari kedai beliau dan jumpa untuk mendaftar sebagai dropship dengan bayaran RM150.00, terpaksa kongsi dengan nama bekas suami sebab email saya lambat bagi response. Masa tu Oshien2U masih jual Original Reject Perfume. Tapi lepas daftar saya tak buat apa apa sangat pun untuk bisnes, belum jumpa BIG WHY sebenarnya untuk buat bisnes betul-betul. 
.
Satu hari sewaktu makan tengahari di satu restoran di Sg Tangkas, dengan anak anak selepas balik sekolah di Sri Al Amin Bangi, saya terserempak dengan Puan Erna seperti biasa bersama Puan Ezureen dan suami. Puan Erna ajak join seminar DeXandra yang pertama di Mahendra Tech, Cyberjaya dengan bayaran RM200 inclusive everything..iaitu seminar serta makan. Wow bagi saya ia sangat murah dan saya ajak my ex attend seminar tu. Pada seminar tu Puan Erna umumkan nak keluar produk wangian sendiri berjenama DeXandra, dan umumkan sesiapa yang nak jadi stokis modal adalah serendah RM6000.00 sahaja. Tapi saya memang tak rasa lagi nak pergi jauh dengan DeXandra waktu tu. Masih belum yakin, belum percaya dan belum bersedia.
.
Bermula babak 'financial crisis' selepas perceraian dengan desakan nak bayar lawyer, yuran sekolah anak, duit makan, nak beli rumah baru, hutang kad kredit, gadaian emas dan lain lain selepas bekas suami 'blah' macam tu aje (setelah saya minta dilepaskan dengan talak 3), membuatkan saya ada BIG WHY yang betul-betul kukuh memulakan langkah baru dalam perniagaan DeXandra. Saya tak boleh sedih lama-lama sebab saya ada anak anak yang nak dibesarkan, disekolahkan dan saya ada tanggungjawab nak ditanggung. Sayapun bukan orang kaya dan saya tiada 'good support' daripada 'family' sendiri kerana masing-masing ada hal dan masalah sendiri nak diurus. Kamipun sejak kecik dah biasa masalah sendiri, selesaikan sendiri. Saya pulak jenis yang susah nak mintak tolong dengan orang kecuali benar-benar terpaksa. 
.
Bila telah ada BIG WHY yang jelas, saya mula merangkak untuk memulakan bisnes DeXandra, 'which was not easy' kerana saya tidak tahu tentang banyak perkara.'After all', bukan senang golongan profesional mahu menceburi bidang perniagaan, bidang yang perlukan kita menyedari bahawa PhD, kepakaran dan kehebatan kita dalam bidang tidak begitu mempunyai nilai dalam dunia perniagaan yang diceburi. Dunia akademik dan dunia perniagaan 'is a totally different world'. So di universiti dan di kalangan ahli akademik watak saya akan berbeza bila berada di DeXandra. Mereka dalam DeXandra mungkin tidak faham bagaimana saya perlu 'fighting' untuk mencapai matlamat dalam bisnes, saya yang dah biasa gagal dalam bisnes ni perlu kuat untuk mencapai kejayaan dalam bisnes yang baru diterokai. Saya seolah-olah seperti pelajar tadika dalam dunia niaga....'that's the fact'. Apa yang ada hanyalah pengalaman kegagalan dan ketidaktahuan saya dalam banyak perkara.
.
Bagi mencari arah pemula, saya sertai team Marcella Resources di bawah seorang surirumah yang berjaya dalam bisnes DeXandra, memenangi banyak rewards daripada HQ dan saya memang kagumi dia. Syukur dia seorang yang 'soft spoken' so takdelah rasa macam bongok bila dengan Wes Jumpot, sebab dia layan baik baik aje kerenah saya, setiap soalan dijawab dengan baik, saya senang nak bergaul dengan dia, mesra dan rapat. Alhamdulillah. Terima kasih saya ucap pada dia.
.
Bayangkan dia SPM sahaja tapi boleh jana 'income' yang banyak sedangkan saya ada PhD tapi bergelumang dengan masalah kewangan. So rasa tertampar tak? 'Of courselah' hu hu hu. So inilah bermulanya perjalanan saya nak berjaya dengan DeXandra, ia tak mudah kerana saya perlu meletakkan diri saya pada tahap yang paling bawah jika mahu sama sama berjaya sebab saya dalam bisnes. level saya jauh daripada mereka semua. So apabila berbicara bersama-sama group stokis yang bercerita tentang sales puluhan hingga ratusan ribu ringgit sebulan, saya cuma diam dan terasa amat kerdilnya diri saya. Walaupun kami dilarang untuk merasakan diri seperti ikan bilis dalam dunia perniagaan namun perasaan itu tidak boleh dihilangkan begitu sahaja. Saya pendam jauh-jauh dan pura-pura ok sahaja berada di kalangan mereka.
.
Dalam dunia akademik yang makan gaji seperti seorang profesor memang nampak gah dengan gaji yang besar namun mereka tetap makan gaji, so kalau itu yang perlu dapat, maka itu sahajalah yang dapat setiap bulan kecuali kalau kita buat 'consultation services'. Namun dalam dunia akademik perjuangan lebih kepada perjuangan ilmu dan mendidik anak bangsa, duit itu penting tetapi ia perkara yang kedua, kami banyak buat kerja tanpa elaun dan bayaran pun, buat semata-mata mahu menyumbang kepada pembangunan sahsiah insan atau pembangunan universiti.
.
Berbeza dengan orang bisnes..pendapatan boleh sikit atau berganda-ganda dapatannya, dan dalam bisnes DeXandra pun begitu juga. So pendapatan seorang surirumah memang mampu mengalahkan pendapatan seorang profesor. So jangan pandang remeh seorang penjaja nasi lemak atau air di tepi jalan kerana pendapatan mereka mungkin jauh lebih besar daripada kereta besar yang dibawa oleh mereka yang berpendidikan tinggi.
.
So dalam mengharung dunia niaga bersama mereka suri suri rumah yang berjaya adakalanya tidak mudah. Saya pernah aje menangis kerana kata-kata seorang suri rumah yang berjaya dalam bisnes DeXandra, kata-katanya amat sinis sehinggakan saya rasa tidak dihormati dan dipandang rendah. Saya pernah meninggalkan mesyuarat kerana hati terhiris dengan kata-kata mereka, dan peristiwa itu berlaku di depan anak saya sendiri yang datang menemani saya selepas 'report card day', sebab tak sempat saya bawak aje dia ikut bermesyuarat. Mereka mungkin tidak faham insan yang ada PhD seperti saya bukan mudah untuk menceburi dunia niaga yang rata-ratanya dikuasai oleh bukan golongan profesional. Namun saya telan semua tu sebab sebagai insan yang mempunyai pendidikan kita perlu rasional dan bertindak sebagai orang bijak bukan sebagai mereka yang melepaskan kata-kata mengikut yang terlintas oleh fikiran.
.
Saya banyak belajar merendahkan hati bukan merendahkan diri, menebalkan muka mohon tunjuk ajar dan bimbingan, menanyakan soalan yang mungkin bodoh bagi mereka tapi saya perlu tahu jawapannya, dan sentiasa mengawal peribadi saya agar tidak keterlaluan dan tidak kelihatan tidak berupaya di mata mereka. Saya perlu jaga martabat ahli ilmuan yang bukan mudah untuk didapati dan bukan mudah untuk menjaganya.
.
Alhamdulillah ramai yang menyokong saya walaupun ada ujian tapi ia dapat diatasi kerana lebih ramai yang tahu menghormati berbanding yang suka bercakap mengikut hati. Orang kata, biar mulut lancang tetapi hati baik, namun bagi saya, apa yang lahir daripada mulut kita jika mengguris hati sesama muslim boleh mendatang dosa. So mahu tak mahu kita kena jaga mulut kita kerana jaga mulut sama macam kita jaga hati kita. So sebaiknya saya hindari golongan ini dalam DeXandra dan hanya mendekati mereka yang ikhlas membantu saya dan menerima saya seadanya.
.
Hakikatnya dalam apa jua yang kita ceburi semua ada cabaran yang tersendiri. Bukan setakat perjuangan dalam DeXandra, perjuangan dalam kerjaya saya juga penuh dengan airmata. Apa yang beri kita kekuatan ialah kelompok, team atau kumpulan yang kita bina. Kumpulan inilah yang akhirnya menguatkan perjuangan kita dengan terbinanya melalui BIG WHY yang kita telah ada di awal perjuangan.

.
Alhamdulillah team DeXandra di bawah bimbingan saya telah menjadi semakin baik dan aktif, manakala team penyelidikan saya juga telah terbentuk dengan baik berkhidmat ke pelbagai universiti, institusi dan mampu menerbitkan pelbagai hasil penerbitan. Itulah namanya perjuangan, bukan hilai tawa dan senyuman yang perlu kita hadapi di awal perjuangan tetapi tangisan, kesedihan dan 'ups and down' yang datang silih berganti sehingga kita benar-benar kuat untuk bangkit berdiri.
.
All the best untuk semua fighters dalam perniagaan mahupun kerjaya. Allahumma yasir dan semoga Allah mudahkan dan berkati perjuangan kita.
.
[MY SHARING] https://t.me/joinchat/AAAAAEWAfbCzwthKcmSMnQ
.
#dosenukm
#stokisdexandrabangi
#kisahperjuangan

Tuesday, October 9, 2018

  

LELAKI 'KESAYANGAN' SAYA
'Lelaki kesayangan' bagi saya ialah, lelaki yang saya sayang dan dia sayang saya balik. Tak ada makna kalau kita sayang dia tapi dia tak sayangpun kat kita.
Dalam hidup saya ni ada beberapa lelaki yang merupakan lelaki kesayangan saya. Sayang ni bukan boleh tipu, bukan mainan dan bukan boleh dilakonkan, kalau ia tulen semua terserlah daripada perbuatan, kata-kata dan tindakan dia pada kita, consistent dan persistent kasih sayang itu lahir.
Antara lelaki kesayangan dalam hidup saya ialah arwah abang ipar saya, walaupun dah lebih kurang setahun arwah meninggal dunia namun airmata saya tetap mengalir bila mengenangkan arwah.
Arwah abang Mahat Abdul Ghani adalah suami kepada kak long saya Kiptiah Talip dan abah kepada anak anak saudara saya Noni Mahat, Azura Mahat dan Norsyuhada Azza. Arwah walaupun hanya seorang abang ipar namun kebaikan dia jauh lebih baik daripada abang abang saya sendiri.
Hubungan arwah dengan saya sangat rapat sejak saya tolong jaga kak long saya bersalin anak bungsu dulu, so lepas peperiksaan SPM, saya duduk dengan along sementara tunggu results sampai along lepas bersalin, kemudian lepas STPM saya duduk semula dengan along selepas saya gagal masuk mana-mana universiti kerana masa tu saya cuma dapat 3 Prinsipal untuk STPM aliran sains, atau mungkin sebab belum rezeki lagi. Pelik kawan saya dapat masuk pulak wp result dia below saya, tu namanya bukan rezeki kan. Ada hikmah di sebaliknya.
Nak cerita baiknya abang ipar saya ni, dialah satu-satunya lelaki yang suka buatkan saya teh tarik tiap kali saya balik ke rumah sebab dia tahu favourite saya tu, dia mesti belikan saya kacang sebab dia tahu saya suka kacang, dia mesti simpankan saya udang paling besar kalau dia berjaya dapat udang banyak-banyak masa memancing, dia akan telefon atau mesej saya selalu bila saya kata nak balik atau saya janji nak balik tapi tak balik-balik, dia mesti basuhkan kereta saya bila saya balik, dia tolong checkkan kereta saya, angin, minyak hitam dan lain2 sebab dia tahu saya ni kaki pakai kereta jer tapi tak peduli pun nak jaga kereta tu, dia jugak yang sibuk tolong carikan saya kerja kilang time saya cuti semester dan sanggup hantar walaupun jauh semata-mata risaukan saya sampai saya pandai naik bus kilang sendiri, dia mesti temankan saya makan walaupun dia dah makan, dia tunggu pepagi buta kat JB station bus masa saya balik dari ITM ARau Perlis dan banyak lagilah kebaikan yang saya tak dapat daripada orang lain melainkan daripada dia. So memang jelas dia memang sayangkan saya. Dah bila orang sayang memang kita akan terasakan. So saya tahu sayalah adik ipar kesayangan dia.
So selepas satu ketika saya dah mula ikut gerakan dakwah masa tu Abim dan Al Arqam, saya dah mula tak salam tangan cium tangan dia dan tak nak rapat dengan dia ikut gi mana-mana. Masa tu dia mula rasa tersinggung sebab dia kata ateh dah tak nak baik dengan dia. Mula2 saya diam aje tapi akhirnya bila tengok dia macam merajuk saya terangkan dengan dia yang sebaik mana kitapun, kita bukan adek beradik dan saya akan tetap hormati dia. Alhamdulillah dia faham.
Saya nilah satu-satunya adik ipar dia yang pernah tolong kutip biji kelapa sawit teman dia kutip buah dan masa tulah saya tahu betapa susahnya kerja dia, dan sayalah satu-satunya adik ipar dia yang dia ajak memancing tapi saya tak nak sebab saya tak suka kena gigit nyamuk time tunggu masa memancing tepi sungai. DIa ajar saya gubal kelapa, adehhh mana ada perempuan Melayu terakhir gubal kelapa tapi sebab rapat dengan dia saya terror tau 'GUBAL' kelapa (Buang sabut kelapa daripada kelapa), susah kot kalau tak reti dan tak faham rahsianya.
Apa yang saya sedihkan ialah di hujung usia dia, saya dah tak berapa rapat dengan dia dan saya tak nak bercakap dengan dia pun sebab masa tu saya masih lagi dilanda masalah emosi dengan masalah rumahtangga saya sendiri, Saya masa tu anggap lelaki semua satu kepala dan tak support saya, sampai abang ipar saya yang baik ni pun saya tak nak bercakap. Saya tak balas pun mesej terakhir dia dalam whastapps yang dia kata 'Abang baru faham kisah ateh dengan _______ (bekas suami), maaf dari abang ye teh'. Sedih, menyesal tak jawab mesej tu sedangkan dia ikhlas minta maaf kat adek dia. Saya simpan mesej tu lagi dan bila teringat saya baca dan berkata, kenapa eh aku tak balas mesej abang ni. Sesal tapi ia sudah tidak berguna lagi. Dan saat2 akhir dia sakit, saya balik ke Johor dia macam dah tak berapa ingat kat saya sebab sakit dia melibatkan saluran darah ke otak, dan ada bahagian yang tak berfungsi.
Pengajarannya, kalau kita ada seseorang yang kita sayang, jangan 'take for granted' kerana kalau kita jumpa dia pagi ni belum tentu kita jumpa dia petang nanti. Kalau dia dah tak de baru kita tahu apa yang kita hilang daripada hidup kita. Macam saya dah tak de orang nak layan saya macam tu dah, layanan special yang saya dapat daripada seorang abang yang benar-benar ikhlas sayangkan saya. Hargailah mereka yang kita sayang walau apapun keadaan kita, sama ada bahagia atau derita kerana kita tak tahu berapa lama lagi Allah akan pinjamkan mereka dengan kita. Saya belajar daripada kesilapan 'in a bitter way', so jangan jadi macam saya ye.
Mohon sedekahkan al-Fatihah untuk abang saya Mahat bin Abdul Ghani dan semoga ruhnya senantiasa berada dalam rahmah dan kasih Allah. Aamiin aamiin aamiin ya Mujib.
[MY SHARING] https://t.me/joinchat/AAAAAEWAfbCzwthKcmSMnQ
#abangmahat
#dosenukm
#stokisdexandrabangi
#hargaiyangmenyayangi

Doa Ashabul Kahfi

Perkongsian Ustazah Asma Harun pada pagi 22.11.21 mengenai Doa Ashabul Kahfi daripada Ayat 10 Surah Al Kahfi. Jika kita ditimpa masalah bes...