Wednesday, February 28, 2018



[ALLAH BAGI SESUATU TIDAK CEPAT TETAPI TEPAT PADA MASANYA]

Sebagai seorang manusia biasa kita akan selalu mengharapkan apa yang kita hendak, mahukan atau inginkan berlaku dengan cepat sepertimana yang kita kehendaki atau rancangkan. Sekiranya kita lambat beroleh sesuatu kita akan berasa kecewa, sedih dan adakalanya berputus asa. Itu adalah lumrah seorang insan biasa bernama manusia. 
.
Saya juga seperti itu. Saya nak cepat berjaya, nak cepat kahwin, nak cepat dapat anak, nak cepat bekerja, nak cepat kaya dan nak cepat segala-galanyalah. Namun setelah hidup hampir setengah abad saya mempelajari bahawa Allah tidak mengurniakan sesuatu itu CEPAT masanya tetapi Allah mengurniakan sesuatu itu TEPAT pada masanya. Kerana DIA yang Maha Mengetahui dan lebih faham sama ada kita telah sedia atau belum bersedia menerima sesuatu kurniaan. 
.
Mengimbau kembali zaman saya terlalu inginkan menjadi pelajar universiti sekitar tahun 1990 dan 1991 dahulu. Tapi Allah ujikan dengan tiada tawaran kemasukan ke mana-mana universiti sedangkan results STPM saya agak baik. Saya jadi sedih dan gundah gulana. So saban hari saya menulis sajak dan syair tentang universiti, saya bawa diri ke Sg Sibol ke rumah kakak sulung Kak Kiptiah untuk bekerja kilang di Senai, Johor sebab hilang arah tujuan bila hajat nak ke universiti terhalang. Penantian menunggu posmen di anak tangga rumah dah berakhir kerana sejak lepas SPM saya sangat berharapkan gelaran menjadi siswa universiti tapi gagal, setelah STPM pun saya masih gagal. Kawan-kawan yang sealiran semua dan bergelar siswa universiti termasuk Rusiah Salim yang ambik STPM dengan saya. Rupa-rupanya Allah takdirkan saya menjadi siswa UITM 1991-1992, siswa UKM pada 1993-1998, siswa Flinders University Australia 1999, Reading University United Kingdom 2003-2006 dan menjadi pensyarah UKM 2007 sehinggalah sekarang. Maka bermaustautinlah saya di universiti tidak tahu sehingga berbelas tahun lagi agaknya, dan saya telah menjadi siswa banyak univeristi berbanding rakan-rakan yang lain. Indahnya satu doa yang Allah kurniakan setelah saya bersedia untuk menjadi penghuni universiti. Baiknya Allah.
.
Saya juga mengimpikan mendapat pekerjaan di usia muda dan boleh naik pangkat lebih awal dengan gaji yang lebih baik namun saya ditakdirkan lambat masuk universiti dan disebabkan itu saya menjawat pekerjaan lebih lewat berbanding rakan-rakan sekelas. Saya masih ingat semasa saya dilantik menjadi tutor, saya baru hendak menyambung PhD, kawan-kawan seusia dan balik ke UKM masuk bertugas sebagai pensyarah. Jangan kata kawan-kawan yang bukan di universiti juga mereka dah kira 4-5 tahun bekerja. Saya sibuk habiskan masa ambik STPM dan Diploma baru dapat buat ijazah dan nak sambung PhD pada masa tu. Namun apa yang berlaku dalam hidup saya sungguh miracle kerana ditakdirkan sebaik-baik sahaja saya menghabiskan PhD dalam tempoh 3 tahun Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mewujudkan perjawatan DS51 yang menyamai perjawatan DS52 bagi pensyarah yang telah lama berkhidmat. Syaratnya cuma beroleh PhD sahaja, subhanallah saya terus mendapat jawatan setara dengan mereka yang telah berkhidmat dengan KPT selama 5-6 tahun. Lihat betapa baiknya Allah. DS51 telah jumud sekarang seolah-olah ianya wujud hanya untuk meraikan hajat saya yang teringin setara dengan rakan-rakan yang lain. 
.
Berkenaan dengan anak pulak, Ya Allah sape tak nak dapat anak cepat. So lepas 2 tahun kahwin tak jugak dapat anak, menangislah selalu, kawan-kawan yang nikah lebih kurang tarikh yang sama termasuk yang nikah lebih lewat dah ada anak. Biras pun dah pregnant 2 kali. Sehinggalah field work terakhir dilakukan di Hutan Simpan Bukit Lagong, Reading University bagi tempoh 6 bulan balik Malaysia buat field work collect samples. Entah macaman, boleh muntah lepas makan roti canai sardine. Find out rupanya pregnant betul-betul setelah selesai collect samples untuk penyelidikan PhD. Subhanallah baiknya Allah, dikurniakan anak setelah semua kerja berat masuk keluar hutan selesai, so boleh fokus pada kerja makmal dan penulisan sahaja. Allahu akbar, masa tu terasa sangat cantiknya perancangan Allah, kita aje yang selalu mempersoalkan rezeki yang lambat sampai.
.
Ya Allah, ada banyak lagi peristiwa yang berlaku dalam hidup saya, yang saya perasan ianya berlaku setelah saya benar-benar sedia menerimanya. Semalam semasa saya meraikan kemenangan sahabat saya ke Jepun 2018 atas rewards sales DeXandra, saya terus terfikir sebab kenapa saya tak menang. Pada keadaan sekarang ketika saya dengan urusan anak-anak sekolah, ada yang akan menghadapi peperiksaan UPSR, serta saya sedang sibuk dengan kuliah maka akan kelam kabutlah kalau terpaksa bertolak ke Jepun untuk tiket kemenangan. Ya Allah betullah Allah akan kurniakan sesuatu TEPAT dan bukan CEPAT waktunya. 
.
Moral of the story jika kita ingin sesuatu yang baik berlaku dalam hidup kita maka:
1. Teruskan berusaha dan berikhtiar ke arah itu tanpa ragu-ragu
2. Teruskan berdoa dan berharap pada Allah s.w.t
3. Sangat yakin dan berharap Allah akan mengabulkan doa kita
Kerana ada doa yang disegerakan kerana telah sesuai dan sampai waktunya, ada doa yang ditangguhkan kerana belum waktunya dan kita belum bersedia, dan ada doa yang digantikan dengan perkara lain yang lebih baik buat kita. 
.
Firman Allah:

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِى عَنِّى فَإِنِّى قَرِيبٌ‌ۖ أُجِيبُ دَعۡوَةَ ٱلدَّاعِ إِذَا دَعَانِ‌ۖ فَلۡيَسۡتَجِيبُواْ لِى وَلۡيُؤۡمِنُواْ بِى لَعَلَّهُمۡ يَرۡشُدُونَ
Artinya: “Dan apabila bamba-bamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Q.S. Al-Baqarah [2]: 186).
“Dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir”. (QS. 12:87)
.
Teruskan berdoa dan berharap padaNYA. Moga Allah menjadikan kita golongan yang senantiasa berharap dan meletakkan pergantungan padaNya. Aamiin aamiin aamiin ya Rabbal alamin Ya Mujib

No comments:

Post a Comment

Doa Ashabul Kahfi

Perkongsian Ustazah Asma Harun pada pagi 22.11.21 mengenai Doa Ashabul Kahfi daripada Ayat 10 Surah Al Kahfi. Jika kita ditimpa masalah bes...