Tuesday, February 27, 2018

  

[SIAPAKAH SEBENARNYA HERO KITA-UNSUNG HEROES]


Wanita yang pakai tudung pink ni ialah kakak saya yang no.2, anak keempat daripada lapan beradik. Namanya ialah Dr. Jannah Talip seorang doktor perubatan dan memiliki sebuah klinik di Kluang, Johor. Kami panggil dia kak co ambilan daripada kakak besar sebab masa tu kami anggap dialah kakak paling besar bukan daripada segi badan tapi daripada segi tanggungjawab, dia bagai anak yang sulung, daripada besar jadi beso sebab orang Johor memang suka jadikan banyak perkataan dengan 'o' , dan akhirnya jadilah Kak Co. Saya yakin dan pasti, tiada gelaran ini seumpamanya dalam mana-mana keturunan bangsa Melayu...yang paling dekat kak Chaq. Dia bagai emak jugak sebab emak kami memang sakit akibat buatan orang dan tak dapat menjalankan tanggungjawab sebagai ibu. Sejak kecil saya sangat mengagumi beliau kerana beliau sangat pandai belajar, pandai baca al-Quran, sabar dan sangat baik pada adik beradik, malahan sangat baik kepada arwah bapak yang banyak melalui susah senang ketika kami masih kanak-kanak lagi. Dialah antara guru mengaji Quran saya selepas arwah bapak serahkan pada beliau. Saya sangat mengagumi beliau sehingga tulisan tangannya pun saya ikut. So kalau tengok tulisan tangan saya memang exactly sama dengan tulisan tangan beliau.
.
Saya masih ingat masa kecik-kecik dialah yang paling banyak beri semangat, paling banyak berkorban, paling penyayang dan paling banyak ambik berat tentang adik-adik dan masalah keluarga. Kakak yang sulung dah berkahwin ikut suami, abang no.2 dan no.3 dengan hal sendiri sebab tu sampai dewasa saya tak percaya yang lelaki akan jaga keluarga mereka sebab saya tengok kakak-kakak saya yang lebih jaga keluarga sedangkan abang-abang asyik dengan hal sendiri. Waktu kecik2 arwah bapak memang lebihkan anak lelaki sebab bapak kata, anak perempuan bila kahwin akan ikut suami dan tak bersama keluarga dan anak lelaki akan tetap jaga keluarga. Mungkin arwah bapak cakap macam tu sebab arwah bapak memang dididik begitu. Duit belanja sekolah pun kami tak pernah dapat tapi abang-abang kita orang dapat, so tengok aje dia orang dapat 20 sen sehari, masa tu besar nilainya, boleh beli sepinggan nasi lemak atau nasi goreng sebab sepinggan cuma 10 sen aje. Tapi bila anak-anak dah besar kami anak-anak perempuan yang bagi bapak duit, tolong bapak dan selalu support bapak, sehingga satu hari masa tengah pijak belakang bapak (urut hilangkan sakit belakang), saya tanya 'Pak, kenapa bapak selalu lebihkan anak lelaki, kenapa bapak tak adil ngan kita orang', Arwah diam kemudian menjawab 'Takyahlah sebut macam tu, bapak tak nak ingat dah yang lama-lama tu, bapak tahu, bapak salah'. Nampak ada airmata keluar sedikit daripada hujung mata bapak. Rasa menyesal sangat masa tu sebab tersinggungkan perasaan arwah bapak.
.
Berbalik cerita tentang kak Jannah yang kami panggil Kak Co. Dia bagai kak long dan dialah pembakar semangat kami iaitu adik-adik di bawah beliau iaitu Kak Rohayah Talip (Kak ana), saya, Roselimah Talip dan Salihan Talip (subuh). Masa kecik-kecik kak co yang susun atur hidup kami, masa makan, masa main, masa belajar dan masa pergi kebun tolong bapak bersihkan kebun Genuang dan tanam pokok getah. Kak Co ketua masak, ketua basuh kain, ketua kemas rumah, ketua celebrate hari raya dan ketua segala-galanya. Kak co suka bola sepak kami pun suka bolasepak, so kak co jadi Soh Chin Aun, Kak Ana jadi Arumugam, aku jadi Hassan Sani, Imot jadi Muhideen dan Subuh jadi Abdah Alif so bila tengok filem Ola Bola kami menangis sebab teringat kisah masa kecik-kecik tu, dengan sebab semangat pasukan bola sepak negara tu juga buat kami jadi sangat bersemangat, dia jadikan kami menteri kabinet juga, Co jadi Tun Hussien Onn, saya jadi Tun Mahathir, dan adik beradik lain pun ada ikon masing-masing. Tahu tak benda tu menjadikan kami bersemangat sebab semua ikon tu orang orang hebat dan berjaya serta popular. Mana datang semua tu pun kami tak tahu tapi itulah antara perkara yang buat kami bersemangat selalu. Saat paling best ialah masa Kak Co balik sekolah menengah dulu, setiap hari Rabu kalau tak silap kami akan tunggu kak Co balik sekolah naik motor dengan bapak, sebab kak co akan bawak balik makanan sedap-sedap daripada sekolah, hasil masakan subjek Sains Rumahtangga. Co kata, dia ambik subjek tu sebab dia nak belajar masakan sedap-sedap dan nak belajar jahit, semua demi keluarga. Terharukan. Dan banyak masakan saya adalah resepi daripada beliau atau ajaran daripada beliau, salah satunya Ayam Panggang Johor dan Benjo Telur Roti Potong. Saya masih ingat bila kak co masuk universiti (Universiti Malaya) ianya saat paling sedih sebab bila kak co dah tak ada keadaan rumah jadi kurang terurus dan agak kucar kacir sebab selama ni kak co yang uruskan semua. Saya hampir tiap hari tulis surat kat kak co sebab terlalu rindukan dia...tapi tak ingat saya poskan ke tidak. Tak kot, yelah sape nak belikan stem dan tolong poskan kan. Saat paling best ialah dapat surat atau poskad daripada beliau, penuh semangat dan beri kasih sayang.
.
Masa cuti kak Co kerja kongsi kong (kerja tebas semak, potong daun kelapa sawit, tanam pokok kat ladang dll yang seumpamanya) iaitu kerja kat ladang estet sebab nak gunakan duit tu untuk beli baju raya kami adik beradik, kak co jugak kongsikan biasiswa dia untuk kegunaan bapak beli keperluan keluarga dan juga bagi pada kami untuk beli barang-barang sekolah. Kalau tengok tangan Co, dialah yang ada tangan yang kasar sebab buat semua kerja macam lelaki untuk selesakan kehidupan kami. Kak co jugak yang beli langsir rumah, beli periuk belanga dan macam macam lagi keperluan kat rumah tu, pendek kata dia berkorban segala-galanya yang dia ada untuk kami sekeluarga. Dia bawak kami gi KL ke UM untuk beri kami semangat supaya belajar rajin-rajin sebab dia kata hanya pelajaran yang boleh bawa kami keluar dari dunia kemiskinan dan keluar daripada kampung. Saya dapat masuk UITM Perlis pun Co yang bersusah payah sediakan kenderaan hantar teksi dari Kelantan untuk ambik kami di Segamat bawa kami ke Arau Perlis, sebab masa tu kak Co bertugas di Hospital Pasir Puteh, Kelantan. Masa saya masuk UKM Bangi pun, CO jugalah yang susah payah sediakan saya kenderaan untuk mendaftar ke UKM. Semua kejayaan saya adalah berkat sokongan dan semangat daripada Kak Co. 
.
Antara saat paling best dengan beliau ialah saat Co beli kereta Proton Saga DS4911, plat Kelantan sebab Co kerja jadi Doktor kat Hospital Pasir Puteh Kelantan, saat dapat beraya dengan Co kat Hospital tu sebab co kena on-call time raya so saya temankan, kami nyanyi lagi arwah Allahyarham Sudirman lagu Dendang Perantau ke tajuk dia? tak ingat tapi lagu Sudirmanlah, saat dapat melawat UM dan KL Co bawak saya, kak Ana, Imot dan Subuh untuk beri kami semangat tengok dunia luar, saat pergi kebun Genuang tiap-tiap petang dengan arwah bapak sekali sampai malam siap masak-masak kat pondok kebun tu, saat konvo Master dan undergraduate kat UKM sebab nampak Co sangat happy dengan kejayaan adik dia, saat kami raikan kejayaan pasukan bolasepak Malaysia masa Pesta Bola Merdeka macam cerita Ola Bola tu, masa kami baring sama-sama atas tanah kebun sambil tengok langit berbintang penuh lepas lari dari rumah kena kejar dengan arwah mak yang kena angin bila penyakit dia datang...dan ada banyak lagi moment happy dengan Co masa dulu-dulu yang actually satu-satunya masih kemas dalam lipatan ingatan.
.
So bila saya fikirkan walaupun saya dah bertemu dengan orang hebat hebat seperti pengasas DeXandra Puan Ernayanee yang sangat mengkagumkan, Puan Fadhilah pengasas Telekung Siti Khadijah, Puan Dilla Mamadill pengasas susu Mamadill, Datuk Faridah Hanim, DR. Azizan, Profesor Emeritus Dato Dr Abdul Latiff Mohamad, insan hebat-hebat di dunia akademik dan dunia niaga, dan ramai lagi orang hebat-hebat yang berjaya di dalam dunia masing-masing sebenarnya orang yang paling hebat ialah orang paling dekat dengan kita. Kita selalu lupa menghargai dan lupa akan jasa-jasa orang yang paling dekat dengan kita seperti ibubapa, suami, isteri, adik beradik dan lain-lain, lebih nampak orang lain daripada mereka yang dekat dengan kita. Hampir dikatakan macam kacang lupakan kulit, semoga saya tidaklah sampai macam tu sebab tu saya masih selalu hadiahkan sesuatu untuk dia sebab dia adalah ratu hati saya sebenarnya. Sebenarnya orang yang paling hebat ialah orang-orang yang dekat dengan kita, orang yang ALlah datangkan kepada kita sejak awal hingga kita sekarang, atau Allah datang pada ketika kita tiada keupayaan untuk melangkah lebih jauh. 
.
Masa balik kampung baru-baru ni saya singgah rumah Kak Co, lepas makan makan macam biasa, saya ajak kak Co bergambar kenang-kenangan untuk tahun 2017. Co bersiap pakai tudung elok-elok, dan Co memang nampak lebih cantik dengan shawl, Co kata semua orang dah cantik-cantik pakai shawl so Co nak jugak. Kami bergambar dekat wakaf depan rumah Co. Masa bergambar dengan Co, saya pegang tangan dia dan tiba-tiba dia pegang tangan saya balik, TIba-tiba rasa sebak sangat kerana sebenarnya dialah hero saya yang berkorban banyak untuk saya berjaya keluar daripada kemelut kemiskinan dan keluar daripada Kg. Melayu Raya, Segamat mencari sesuatu yang lebih baik dalam hidup. 
.
Allah berikan dia kebaikan dalam hidup kerana keikhlasannya membantu keluarga dulu. Anak-anak Co semua bijak-bijak dan berjaya dalam pelajaran, Co dapat membuka klinik sendiri dan alhamdulillah hidup selesa dengan suami yang penyayang dan sangat menyayanginya. Allah itu adil walaupun kami tak dapat membalas jasa-jasanya tapi Allah berikan kebaikan dalam hidupnya. Walaupun kak Co tak akan baca cerita ni sebab dia sekarang lebih menumpukan kepada ibadah khusus dan tak peduli sangat hal dunia facebook, blog dan insta namun saya akan sentiasa mendoakan agar Allah berikan segala kebaikan di dunia dan akhirat kerana tanpa pengorbanannya saya tidak akan berada di sini.
.
Mari kita latih, listkan mereka yang sebenarnya hero dalam hidup kita untuk, kalau tidak dengan harta, sedekahkan dengan doa dan al Fatihah untuk mereka agar kehidupan kita lebih diberkati dan kita menjadi orang yang bersyukur. Saya sangat sayangkan Kak Co dan juga hero-hero lain yang ada dalam hidup saya. Saya gelarkan mereka my UNSUNG HERO iaitu hero yang tidak kita sedari atau hero yang tidak digembar gemburkan atau hero yang tidak nampak (not celebrated, not praised or acclaimed). Merekalah antara orang yang wajar mendapat kasih sayang, doa dan hadiah daripada kita terlebih dahulu berbanding orang lain yang datang kemudian dalam hidup kita.

#letpassionleadyou
#stokisdexandrabangi
#365harimencarisyurga
#menjunjungilmumencaritaqwa

#kecintaanAllahadalahdestinasi

No comments:

Post a Comment

Doa Ashabul Kahfi

Perkongsian Ustazah Asma Harun pada pagi 22.11.21 mengenai Doa Ashabul Kahfi daripada Ayat 10 Surah Al Kahfi. Jika kita ditimpa masalah bes...