Friday, April 13, 2018


IBRAH SEBUAH KEMATIAN 120418. AMALAN MATI HUSNUL KHOTIMAH


Saya akan ingat tarikh ini sampai bila-bila kerana ia merupakan tarikh kematian sahabat saya al marhumah Noreana Jamal yang saya kenali sekitar 1998 semasa menjadi pengajar Sekolah Insan Istimewa yang di bawah naungan anak kepada Dato Daim Zainudin. Namun sekolah ini gagal dibangunkan kerana kurang sokongan dan kewangan. Namun kami para tenaga pengajar sempat menjalani latihan di Special Needs School di Flinders University Adelaide Australia selama 9 bulan kalau tidak silap saya. Pertama kali saya menjejaki bumi Australia dan belajar bagaimana pendidikan Kanak-kanak istimewa di sana dijalankan. Kenangan yang sangat berharga yang tidak akan saya perolehi lagi dan bagaimana saya menyedari bahawa golongan ini sebenarnya agak terpinggir di negara kita kerana masih kurang mendapat perhatian yang sewajarnya.
.
Noreen gelaran sahabat saya ini seorang yang sangat bersantun, a really good cook dan sangat prihatin. Semasa kami di Adelaide, saya berkongsi sesi memasak bersama arwah dan dengan arwah saya belajar memasak dengan menggunakan microwave. Saya orang kampung memang tak reti sangat guna microwave. Beliau memasak pan cake, rendang, nasi, ayam bakar dan segala-galanya termasuk cake dengan microwave oven. Jika tiada waktu lectures merata bumi Adelaide kami jelajahi sebab saya memang kaki jalan, so Noreen lah yang melayani saya meredah bumi Adelaide sebab dia pernah menuntut di Universiti di Wollongong Australia, so lebih mudah menjelajah dengan arwah yang telah banyak pengalaman semasa menghabiskan pengajian degree. Sehinggakan pulang ke Malaysia pun saya masih rapat dengan arwah dan pernah menghabiskan seminggu bercuti ke Singapura di rumah ibubapanya kerana arwah bapanya bertugas di Singapura. MAsa tempoh itulah saya kenali bandar Singapura dan juga Sentosa Island. 
.
Namun setelah Sekolah Insan Instimewa dibubarkan dan saya mendapat pelepasan pihak pentadbir untuk memohon kerja sebagai Research Assistant di Univeristi Malaya dan UKM, kami terpisah dan jarang-jarang berhubung. Saya dengar arwah telah bernikah dengan Azhar salah seorang tenaga pengajar di sekolah yang sama. Cinta di tempat kerja. Kemudian saya melanjutkan pengajian PhD di UK dan langsung saya tidak mendengar berita tentang arwah dan saya beranggapan arwah mestilah bahagia bersama dengan Azhar. Setelah lama berkhidmat diUKM tahun lepas sekitar bulan Disember 2017 saya terserempak dengan arwah di Bangi Gateway bersama anak-anak. Subhnallah masih teringat peristiwa tersebut tetapi disebabkan masing-masing sedang rushing nak uruskan keperluan anak kami cuma dapat bersapaan seketika sahaja. Dan pada pada pagi 12.04.18 ketika saya sedang rasa terkilan tidak dapat turut serta bersama team DeXandra melancarkan Air Asia - DeXandra kerana urusan keluarga, saya mendapat panggilan bahawa Noreen telah pergi buat selama-lamanya.
.
Semasa saya memandang Jenazah Noreen, air mata saya menitis dan membayangkan persahabatan kami dan saya membayangkan saya juga akan menjadi jenazah mungkin tidak lama lagi. Umur Noreen 4 tahun lebih muda daripada saya, dan semua tidak mustahil kerana umur 40-an adalah umur yang semakin hampir kepada kematian. Justeru itu saya harus lebih banyak mengingati mati kerana mati itu WAJIB, mati itu PASTI. 
.
Apa yang kita perlu usahakan ialah kematian dalam husnul Khotimah atau kematian dalam kebaikan. Dan kebetulan sehari sebelum menerima berita kematian ini saya ada mendengar tazkirah Ustaz Ahmad Dusuki Mat Rani berkenaan kematian dan kata beliau 'Mengapakah kita terlalu mengejar dan merebut perkara yang kita akan tinggalkan selepas kematian dan mengabaikan perkara yang akan kita bawa selepas kematian'. Memang benar katanya, kita selalu lupa bekalan yang kita mahu bawa bersama-sama kita menemani selepas kematian. Justeru itu saya nak kongsikan apa yang kita perlukan untuk mendapatkan kematian husnul khotimah dan membawa bekalan yang akan kita gunakan selepas kematian yang menakutkan semua insan yang hidup, kerana kita akan takut pada benda yang kita tidak tahu dan tidak pasti.
.
Ustaz Dusuki berkongsikan 6 amalan harian untuk kita melalui kematian yang baik dan kematian yang baik adalah tanda kehidupan akhirat yang baik:

1) Bacalah La ila ha illa anta subhanaka inni kuntu minnazzolimin. Baca ini banyak banyak dalam kehidupan kita sehari hari kerana ia merupakan doa yang memohon ampun ke atas kezaliman yang kita lakukan ke atas diri kita sendiri sama ada secara sedar atau tanpa sedar.

2) Bacalah selawat atas junjungan Nabi Muhammad saw sebanyak banyaknya dan kalau boleh sekurang-kurang 1000 kali sehari kerana satu kali kita berselawat 10 kali Allah akan menyebut nama kita. Alangkah bahagianya kita bila orang2 besar, atau boss kita atau orang-orang terkenal dan tersohor menyebut2 nama kita dan bayangkan bagaimana bahagianya kita jika Allah Tuhan sekelian alam menyebut-nyebut nama kita. 

Antara mukmin yang mendapat syafaat Nabi di akhirat kelak juga di kalangan mereka yang banyak berselawat ke atas Nabi dan selawat itulah yang menjadi asbab Nabi saw kenal akan kita ini sebagai ummatnya nanti.

3) Bacalah sebanyak-banyak surah al-Ikhlas kalau tidak mampu bacalah 40 kali, jika tidak mampu bacalah 10 kali, jika tidak mampu juga bacalah sekurang-kurang 3kali, kerana  1 surah al-ikhlas menyamai 1/3 al Quran dan jika kita baca 3 kali maka ianya menyamai seperti membaca keseluruhan al Quran. Dan jangan kita perkecilkan mereka yang memperjuangkan membaca al Quran meskipun cuma surah al-Ikhlas yang hanya terdiri daripada 4 ayat sahaja.

4) Bacalah al-haukolah yang merupakan bacaan yang biasa kita dengar iaitu La ila ha illaulohu Allahu akbar. Wa la hau la wala kuwwata illa billahil aliyil aziim. Ia merupakan zikri yang warid daripada Nabi saw dan tidak akan dimamah api neraka tubuh badan pengamalnya.

5) Tetapkan diri dalam keadaan berwudhu kerana kita akan dibangkitkan nanti sepertimana kita dimatikan. Jika kita mati dalam keadaan membaca al-Quran maka kita akan dibangkitkan dalam keadaan membaca al Quran, jika kita mati dalam keadaan  sedang solat maka kita akan dibangkitkan dalam keadaan sedang solat, jika kita dibangkitkan dalam kedaan kita sedang berwudhu maka kita akan dibangkitkan dalam keadaan berwudhu, dan yang sedihnya jika kita dimatikan dalam keadaan bermaksiat maka kita akan dibangkitkan dalam keadaan bermaksiat. Na uzubillahimin zalik.

6) Bersugilah, Bersugi bukan memberus gigi tetapi sebaliknya menggunakan kayu sugi. So pelajarilah kaedah bersugi dan simpanlah kayu sugi di rumah kita kerana bersugi ni mencerahkan minda dan mencergaskan akal fikiran.

Saya mengambil ibrah atau pengajaran daripada kematian sahabat saya Noreen, kerana sata juga akan mengikuti arwah nanti. Semoga kita semua yang masih hidup berkempatan untuk memperbaiki mana yang tercela dan terkurang, Allah masih bagi masa, tenaga, kudrat dan umur buat kita, ambik peluang ini sebaik mungkin. Kita sedekahkan al-Fatihah buat arwah sahabat saya dan doakan ruh beliau ditempatkan di kalangan ruh orang-orang soleh. Al_fatihah. Dan sesunggunya daripada Allah kita datang dan kepada Allah kita akan dikembalikan. 
.
#letpassionleadyou
#365harimencarisyurga
#takdirAllahituindah

No comments:

Post a Comment

Doa Ashabul Kahfi

Perkongsian Ustazah Asma Harun pada pagi 22.11.21 mengenai Doa Ashabul Kahfi daripada Ayat 10 Surah Al Kahfi. Jika kita ditimpa masalah bes...