Sunday, September 22, 2019



JANGAN TERLALU RISAUKAN MASA DEPAN ANAK

Ibu sejak dua menjak selalu risau, fikirkan masa depan anak. Ibu terfkir, bagaimana ye kalau aku mati, siapalah nak jaga dan asuh anak-anak sampai dia boleh berdikari. Mampu ke aku ni kalau nak tanggung anak-anak nanti masuk universiti, nak sambung belajar dan nak bagi support pada anak-anak dengan belanja yang makin tinggi. Kekadang bila tengok muka anak-anak time tidur, terus aje berasa sayu hati dan berdoa 'Ya Allah Engkau berilah anak-anakku kekuatan untuk hadapi cabaran semasa aku masih atau tiada lagi'. Ini biasa, suara hati mana-mana ibu tunggal atau ibu bapa yang punya anak istimewa atau ibu bapa yang punya pendapatan rendah.

Bila fikir tentang bajet membesarkan anak di negeri Selangor ni memang sangat besar. Dan jika kita mahukan anak-anak mendapat didikan akademik dan agama yang terbaik, lagilah kena keluar lagi banyak bajet. Nak didik sendiri tak upaya. Bila kita semua yang kena lakukan, rasa macam powerless kadang-kadang tu. Sudahlah belanjanya besar, keperluannya pun banyak, selalu aje ada keperluan sekolah yang kena dipenuhi. Bila fikir logik, macam kita tak mampu nak lakukan sendirian.

Tetiba pagi ni, ibu teringat kisah sendiri, ibu dulu lahir dalam keluarga yang miskin giler, yang mak atau bapak sebab susah, tak sempat pun nak fikir masa depan anak. Nyaris2 aje ibu tak sekolah, sebab arwah mak dan bapak miskin, depa tak peduli pun anak sekolah ke tak. Yang penting anak-anak ada makan tu aje. Apatahlagi tak de pun contoh orang kampung yang sekolah dan berjaya. Rata-rata yang bersekolah, lepas SRP atau SPM, sama ada kahwin atau kerja kat kampung. So bagi mereka no need to sekolah. Sebab tu kakak sulung dan dua abang ibu tak bersekolah atau diberhentikan sekolah awal. 

Bagi kes ibu, kakak ibulah (Rohayah Talip@Kak Ana) yang masukkan ibu ke sekolah. Teringat lagi gi sekolah pakai baju Sekolah Rendah Seragam Singapore (baju sekolah yang orang sedekahkan). Ada pulak baju seragam tu dalam longgokan sedekah orang tukan. Nampak tak?. Tu bantuan Allah tu, dan ada baju putih kakak yang lama-lama tu nak pakai kat dalam. Tapi tali pinggang pinafore/unifrom tu tak de dah, so baju tu, ibu pakai kembanglah. Sebab uniform/pinafore sekolah Singapore ni, ia ada pleated bermula daripada bahagian dada. Mesti COMEL, ke comot ha ha ha...

Pergi sekolah tak pernah dapat duit belanja tau, sarapan pun tak de. Ibu selalu tumpang kakak-kakak ibu yang siapkan makanan dia sendiri, kekadang dia orang masak sendiri nasi goreng ke tapi most of the time kami tak makan pun. Kalau bawak bekal pun segan, sorok-sorok sebab cucu Tok Miut yang depan rumah tu, namanya kak Senut, bawak bekal mesti sedap-sedap, ada telur rebus. Meleleh air liur kita orang tengok dia makan. Kalau dia tak habis makan, macam nak mintak, tapi segan. Masih ingat kami makan kat belakang sekolah, duduk kat kat longkang dengan kaki masuk dalam longkang, bekal letak atas simen koridor belakang sekolah tu. Aduhaiii sedihnya mengingat masa lalu.

Begitulah perjalanan ibu sekolah, tanpa belanja, tanpa bekal, tanpa panduan dan nasihat atau galakkan daripada mak bapak pun, tapi kalau Allah nak bantu, dengan segala kesusahan tu ibu capai jugak ke tahap sekarang. 

Bila mengingatkan hal tu, ibu terus beristighfar panjang. Sebenarnya kita kena letak keyakinan dan tawakal yang tinggi pada Allah. Kena sangat percaya bahawa Allah akan bantu dan jaga anak-anak kita. Pasti ada rezekinya nanti, sepertimana Allah bantu kami adik beradik daripada kemelut kemiskinan dan kesusahan hidup. Sehingga adik beradik kamilah yang paling berjaya dalam pelajaran di Kampung Melayu Raya tu hingga semua menjejak menara gading kecuali yang tak bersekolah.

Berjaya dan gagal seseorang anak dalam hidupnya bukan ditentukan oleh ibubapa, tapi Allah yang menentukannya, maka marilah kita yakini, apapun kesusahan yang kita hadapi untuk membesar dan mendidik anak, pasti Allah akan membantunya. Buat sahajalah yang terdaya dan semampu kita, don't stress out and don't over do, Allah Maha Mengetahui segalanya. DUT DOA USAHA DAN TAWAKAL in shaa Allah, serahkan segalanya yang lain pada Allah. Allah MAHA SEGALA-GALANYA.

#beautifullife
#bekindbecouragebestrongbehappy


Wednesday, September 18, 2019

ALLAH RESTU KE PERCERAIAN??????

Ada ke istilah PERCERAIAN KERANA ALLAH? Mengorbankan nyawa pun ada kerana Allah maka apatahlagi perceraian. So mestilah ada, walaupun ia bukan perkara yang hebat tetapi memang ada perceraian dilakukan kerana Allah.

Kan manusia yang bertemu dan berpisah kerana Allah itu disukai dan dikasihi oleh Allah. Namun sebelum membuat keputusan istikharohlah padaNya, sepertimana ibu telah beristikharoh selama 14 tahun, then baru buat keputusan setelah Allah benar2 tunjukkan jawapannya dengan JELAS.

Keputusan untuk bercerai bukan mudah, ia sesuatu yang sangat sukar untuk dilakukan dan sangat tragis untuk dilalui. Bagi kita jika ada keluarga yang mengalami perceraian, sokonglah mereka daripada segi sokongan emosi, kewangan, masa dan tenaga kerana mereka yang bercerai pasti akan mengalami kemurungan sedikit atau banyak.


Sudahlah prosesnya susah dan menyusahkan, kemudian kita akan mengalami pelbagai ujian selepas bercerai. Ibu banyak belajar daripada pengalaman lalu. In shaa Allah akan dikongsikan untuk pengajaran kita sama sama.

So berbalik pada perceraian tadi, sebenarnya ada beberapa hukum berkenaan perceraian:

1. Mubah (Jika perlu), contohnya sebab sudah tiada sakinah atau kebahagiaan dalam rumahtangga atau sudah tiada persefahaman dalam rumahtangga.

2. Mustahab (Dianjurkan), berlaku mudarat disebabkan perkahwinan seperti isteri yang disakiti mentalitinya sehingga beliau terganggu secara psikologi.

3. Wajib, ini boleh berlaku jika suami atau isteri melakukan dosa yang berterusan seperti berzina, liwat, hubungan sesama jenis yang adakalanya tidak dapat dibendung, sehingga hilang keberkatan dalam rumahtangga. Ataupun jika suami atau isteri boleh mencederakan anggota tubuh pasangan melalui kelakuan ganas, yang boleh mengakibatkan juga maut.

4. Sunat, sekiranya terdapat ketidakupayaan pada suami memberi nafkah kepada isteri.

5. Makruh, sekiranya bercerai tanpa sebab yang syarie, tiada alasan dan tiada sebab alasan agama dan sebagainya.

6. Harus, sekiranya isteri atau suami lemah keinginan batinnya atau tidak mampu daripada segi batinnya.

7. Haram, sekiranya, isterinya sedang dalam keadaan haid, nifas.


Sabda Nabi saw:
‘Wanita yang meminta cerai daripada suaminya tanpa alasan syarie, maka haram baginya bau syurga’ – Hadith riwayat Ibnu Majah

So, walaupun menjatuhkan talak itu hak suami tetapi isteri boleh menuntut talak dengan sebab syarie atau dengan sebab-sebab yang dinyatakan pada hukum di atas. Allah itu adilkan.

Sunday, September 15, 2019


BEHIND 'JAUH DARIPADA ALLAH'

Perkara pertama yang ibu faham tentang DOA ialah daripada kisah Nabi Adam as dikeluarkan dari syurga. Ustazah kupas pengajaran dari kisah ini. Kisah ini buat ibu sedar banyak perkara, dan buat ibu menangis banyak kali.

Ibu rasa syukur sebab Allah pilih ibu untuk di kategori kan dalam golongan yang sukar untuk dapat sesuatu yang diinginkan dalam hidup. Ini membuatkan ibu tak berhenti cari ilmu sehingga ibu ditemukan dengan mereka yang sangat best. Imagine jika ibu dapat sesuatu dengan mudah, sure ibu berhenti belajar dahkan.

Dalam hidup ibu, apa yang ibu dapat hampir semuanya bukan dengan mudah, mesti melalui kesusahan, sejak lahir, masuk sekolah, masuk univ, perkahwinan, dalam pekerjaan  nak dapat anak, nak bangkitkan bisnes, dan pelbagai lagi.

Antara satu-satunya benda yang ibu dapat dengan mudah ialah berjaya dapat scholarship melanjutkan pengajian ke peringkat Master. Mudah sangat bila dapat offer biasiswa RM1300.00. Jumlah tu sangat banyak bagi ibu, orang miskinkan 😁. Ni fenomenalah, sebab mudah sangat dapat

Berbalik tajuk fokus kita hari ini. Behind 'Jauh daripada Allah' Ustazah kongsikan ANTARA sebab doa susah makbul ialah disebabkan kita jauh daripada Allah. Ustazah bawa kisah Nabi Adam as yang di awal penciptaannya sangat dekat dengan Allah, berada di syurga, hidup dalam rahmahNya, sangat dekat dengan Allah.

Namun hanya disebabkab 1 dosa, Nabi Adam as dikeluarkan daripada syurga, berada JAUH daripada Allah (dihantar ke bumi). Hidup susan dan struggle. Jadi bayangkan jika kita yang buat bukan 1 dosa tapi sangat banyak dosa, dengan tidak ada ilmu atau tidak cukup ilmu, berapa banyak dosa kita buat dengan sedar atau tanpa sedar. Rupa2 nya dalam ibadah seperti solat pun kita buat dosa, menipu Allah tanpa sedar. Sedihnya. Kena belajar ni dosa dosa dalam solat.

Ibu tidak menulis ini untuk sesiapa tetapi untuk diri ibu sendiri yang mungkin kena baiki banyak hal untuk berada dekat dengan Allah. Kena jaga saat bila kita sedang bercakap dengan Allah (solat) atau saat Allah bercakap dengan kita (membaca al Quran). Masa umpama ini perlu dijaga dengan baik dan sempurna untuk baiki hubungan dengan Allah.

Kita kena banyak istighfar, kena banyak istighfar dengan hati, lisan dan perbuatan, agar kita lebih dekat denganNya. Kena cari apa sahaja amal yang buat kita dekat denganNya dan tinggal semua benda yang buat kita jauh dariNya. Kena usaha sungguh2, agar DIA sayang dan pandang kita sebagai jiwa yang diredhaiNya.

In shaa Allah ibu akan sharekan lagi apa yang ibu temui dengan sesi bersama Amazing Quran Language yang dipimpin oleh Ustazah Afeefah Solehah Zainal. Wanita hebat yang berjuang untuk bantu ummah. Alhamdulillah.

Kita yang tak faham KOSA KATA bahasa al Quran dan bahasa Arab susah mahu memahami sendiri, so kita sama2 cari mereka yang boleh bantu kita. Doalah pada Allah, DIA akan temukan nanti. Bak kata pepatah 'Better Late than Never'.

@https://t.me/ProfMadyaDrNorainiTalip

#beautifullife
#bekindbecouragebestrongbehappy

Friday, September 13, 2019


TAKDIR DIA DAN TAKDIR KITA?

Hari ini ibu dipertemukan lagi dengan insan yang tidak mempunyai sangat gelora dalam hidup. Keseluruhan hidupnya amat selesa dan hampir sempurna. Dengan keluarga yang baik, pendapatan yang bagus dan juga memiliki hampir semua keinginan yang ingin dicapainya dalam hidup.

Satu ketika dulu ibu jumpa juga sahabat yang mempunyai kisah yang sedemikian, sehingga dia kata kat ibu 'Aku tak de masalah sangat pun dalam hidup'. Ibu tak tahulah kalau dia berbohong atau tidak tapi apa yang ibu nampak memang keluarga yang sempurna dengan segala-galanya ada.

Ibu pun terkenangkan diri sendiri yang hidup dalam keadaan yang penuh cabaran dan rintangan dalam hidup. Sehinggakan bila macam macam dah dilalui ibu jadi susahlah nak goyah dengan benda benda remeh temeh ni, sebab dah banyak benda besar ibu lalui yang tidak terfikir dek akal fikiran ibu sendiri.

Sebenarnya, bila susah itu ujian, maka begitulah juga dengan senang. Kedua-duanya adalah bentuk ujian yang diturunkan untuk kadar layak masing-masing. Mungkin ibu tak mampu nak hadapi ujian senang, sebab ibu akan hilang kesyukuran dan keinsafan, lalu didatangkan ujian berat, begitulah sebaliknya bagi yang dapat ujian senang, dia tak mampu untuk hadapi ujian berat. Allah kan lebih tahu daripada kita.

So apa pun ujian kita, hanya pegang pada matlamat akhir iaitu keredhaan Allah. Capailah keredhaan Allah sama ada dalam susah atau dalam senang. Bentuk ujian Allah, jangan sesekali dipertikaikan. 

https://t.me/ProfMadyaDrNorainiTalip

#beautifullife
#becouragebekindbestrongbehappy

Wednesday, September 11, 2019



Sebenarnya sangat ramai orang yang sedih, berduka, kecewa dan sakit berbanding mereka yang benar-benar bahagia dan gembira.
Ibu lahir daripada kehidupan yang sangat susah, sakit dan derita. Bukan yang biashe biashe tapi level yang sampai pinjam beras, minyak, telur, kicap dan apa aja daripada jiran depan rumah.
Arwah Tok Miut, jiran ibu. Ibu sampai ingat nama insan ni, yang sangat baik tapi bila hari-hari kena sebut'Tok Miut, nak pinjam beras sikit boleh?', kanak2 pun akan rasa malu. Sesekali panjat pokok jambu belakang rumah Tok Miut, sebab lapar, selalu minta izin, tapi bila dah segan, ibu curi aje. Betullah kemiskinan boleh bawa kepada kekufuran.
Bukan setakat tu, kami memang tak ada kasih sayang dalam keluarga. Arwah mak dan bapak hari hari bergaduh sebab mak sakit kena buatan orang menyebabkan hari hari dia mengamuk, pukul dan belasah kami termasuk arwah bapak pun kena. Dosa besar bagi yang menyihirkan mak, hidup kami adik beradik dalam kesengsaraan kerana perbuatan mereka.
Orang kampung dan sedara mara kami pulak tak berapa nak rapat. Perasaan rendah diri tu sangat tinggi pada kami. Penghinaan tu biasa, kami pernah nampak terang-terang arwah bapak kena hina masa ambik lauk lebih kenduri untuk beri makan pada kami.
Arwah bapak akan ambik semua lebihan orang makan kat pinggan lepas kenduri kat kampung, dan bawa balik untuk kami makan berhari2. So lauk di'nget' bahasa Jawa ni, dihangatkan banyak kali untuk jadi lauk. Agaknya sebab tu kami semua pandai-pandai dalam pelajaran sebab makan baki makanan orang-orang hebat kat Kg Melayu Raya tu.
Bila arwah mak sakit macam tu, macamana arwah bapak nak fokus pada kerja, ibadah dan kami anak anak. Allahu Akbar; sebenarnya kesan kesakitan itu, ibu bawa sampai dewasa. Impian ibu masa kecik cuma satu 'Aku nak keluar daripada kampung ni, nak berjaya dan tak nak duduk dengan mak'
Kami adek beradek gelar rumah sebagai 'asseramak' dan impian nak masuk 'asrama' sebab tak tahan kena belasah dan maki dengan mak hari-hari. Kami manalah tahu mak kena sihir, yang kami tahu lahir-lahir jer dah kena beduk, belasah dan pukul dengan mak.
Ada banyak lagi kisah pahit dalam hidup ibu dan in shaa Allah ibu akan share dengan semua untuk beri inspirasi. Tekanan dan kesakitan dalam hidup itulah yang membuat ibu kuat untuk terus capai kejayaan.
Bila bertemu jodoh, lain pula ceritanya. Ibu sangkakan itulah nakhoda ibu dan tempat ibu menumpang kasih sayang. Namun rupanya dialah punca penderitaan ibu selama bertahun-tahun. Ujian apakah ini? Ketika itu ibu berkata-kata.
Namun sebenarnya Allah ada perancangan DIA yang kita kekadang tak faham. Kita cuma kena tahu bahawa DIA lebih tahu apa yang terbaik buat kita dan apa yang DIA takdirkan adalah tarbiyyah buat kita. Sangat mahal harganya tu.
Sebab tu, ibu senang tersentuh hati dengan figura yang penuh kasih sayang dan boleh kongsikan kasih sayang seperti Puan Ernayanee Nur Julaimi, Tuan Afnan Rosli, Dr Taufiq Razif Coach Nooraizan zie dan Ustaz Mohd Hakim Mohd Nor dan ada lagi sahabat2 ibu yang lain.
Memandang mereka juga sudah rasa sayang. Moga Allah terus beri mereka kekuatan untuk terus memberi inspirasi kepada insan lain. Moga Allah juga beri ibu peluang untuk menjadi inspirasi kepada ramai orang dan boleh sebarkan happiness ♥️
Al-Fatihah untuk arwah Mak, Bapak dan Tok Miut.
#share untuk inspirasi bagi yang sedang berduka https://t.me/ProfMadyaDrNorainiTalip

Monday, June 17, 2019



[SELAMAT HARI BAPA-AL FATIHAH untuk BAPAK SAYA ARWAH TALIP SARYO]
.
Bagi saya lelaki yang paling saya sayangi di dunia ni ialah arwah bapak saya Talip Saryo. Tiada gantinya sampai hari ini. Arwah bapak yang paling istimewa ialah kesabarannya. Kesabaran dia terlalu tinggi sehingga kami adik beradik nakal macamana pun tak pernah kena pukul, kena herdik atau kena maki. Bapak selalu kata 'Bapak seligi kang', bila kami nakal melamoau namun macamana seligi tu tak tahu pun sbb tak pernah kena sbb dek kesabaran beliau.

Dengan arwah mak, macamana mak masa sakit kena sihir dan buat macam2 kat bapak, pukul, tendang, maki hamun bagai tapi arwah bapak tetap sabar tak pernah naik tangan kat mak dan tak pernah nak ceraikan mak. Sedangkan masa tu arwah bapak tak tahu pun mak kena sihir. Kalau lelaki lain dah lama bercerai berai.
.
Kami sampai tanya sebab tak tahan dengan mak ‘Pak kenapa tak ceraikan mak?’ sebab kami pun tak tahan kena pukul. Bapak kata ‘Nanti mak nak duduk mana, nanti dia duduk kat rumah ni jugak, berdosa aje nanti sebab dah bukan suami isteri’. Subhanallah memang teramat sabar orangnya.
.
Masa mak sakit tu macam macam mak buat hingga jadi buat mulut orang kampung Melayu Raya tu. Macam orang kampung lain, kampung kami pun suka membawang. So kami sekeluarga macam dipulaukan, sedih sampai malas nak campur orang kampung. Tapi arwah bapak sabar tahap gaban, still tolong kenduri, gi rewang, urus dan ziarah kematian.

Arwah bapak ada sijil agama, dan awalnya selalu jugak dapat jemputan jadi tukang pimpin tahlil dan kenduri tapi bila arwah mak sakit, dah kurang jemputan sebab orang dah start asyik mengata kat belakang. Sebab mak sakit tak nampak kat luaran tapi lebih pada serangan emosi dan mental, so orang kampung pun tak tahu dia sakit kena sihir.
.
Saya masih ingat, hidup kami susah so bapak bila lepas tolong rewang kat kenduri, arwah bapak kutip makanan lebih orang makan, pack dan bawak balik ke rumah. Kadang kadang bapak suruh kami datang kat kenduri tu dan tunggu bapak kat tepi khemah rewang tu nak makan. Bapak bagi nasi dan lauk lauk lebih nak makan. Itupun orang kampung mengata arwah bapak curi makanan. Arwah bapak tak peduli pun, dia buat aje kerja dia. Kesiannya kat bapak.

Sebab kami orang miskin orang kampung pandang sepi jer kat kita orang kekadang nak sebatang bunga manggar pun tak dapat walaupun dok berebut nak bila depa bagi bagikan pada anak anak. Budak kecik akan ingat semua tu, so jangan main main sampai sekarang pun ingat tau.

Time kenduri gak kami suka kutip batang ais krim yg budak budak kampung buang ..so kami berangan dapat makan ais krim banyak dengan jumlah batang ice cream yang kami kumpul 😂. Sadis betul.
.
So bila kak Co kakak no4 dapat buat medic, saya masih ingat, arwah bapak menangis teresak2. Dia kata, bapak tak tahu anak bapak pandai dan masa saya nak ke UK buat PhD pun saya nampak arwah bapak sangat bangga masa dia hantar kat AirPort.
.
So kita semua ada bapak masing masing kan, hargailah mereka walau macamana mereka pun sebab itulah bapak yang Allah kurniakan untuk kita. Kita tak boleh pilih bapak atau ayah yang kita nak, kerana yang kita dapat itulah yg terbaik buat kita.

Tanpa dia tiadalah kita di dunia ni. Seperti anak anak saya yang tidak mendapat kasih sayang seorang bapak but yet mereka masih perlu menghormati dan menghargai bapa mereka walau macamana pun keadaannya. Kesian gak kat anak anak saya sebab mereka tidak tahu betapa bestnya ada seorang ayah.
.
Masa kecik2 masih ingat permainan cang gelucang yang bapak saya suka main dengan kami, simple aje tapi ma shaa Allah sangat enjoy. Saya pandai menulis, mengira dan mengaji Quran pun atas usaha arwah bapak sampai masa darjah satu saya dah pandai macam2 walaupun tak bersekolah tadika. Cuma Bahasa Inggeris saya teruk sebab arwah bapak pun tak reti nak ajar Bahasa Inggeris.
.
Arwah bapak pun selalu bawak kami ke kebun getah untuk ajar menoreh getah dan menanam semula getah. Walaupun penat tapi tak tahulah bila berkenaan bapak mesti semangat aje.

Kesukaan bapak ialah pijak2 kat belakang dan sebab saya kurus melidi dulunya, saya kena pijak2 bapak sampai umur saya 20 tahun, bila dah masuk universiti bapak kata ko dah berat, tak boleh pijak2 bapak dah. Pijak2 tu salah satu cara bapak berurut sebenarnya. Masa kecik2 dulu tiap kali pijak2 bapak bagi teka teki dan selagi tak boleh jawab, bapak tak bagi turun. So puas guna otak time pijak nak jawab teka teki. Kreatifkan bapak ajar kami berfikir.

Alhamdulillah saya direzekikan bapak yang sangat baik dan sabar. Bapak yang penyayang dan sangat rajin serta kreatif. Sebelum air masuk kampung, rumah kami dah ada paip, arwah bapak buat sendiri, hebatkan. Sebab kepandaian dia orang kampung gelar bapak Talip Kancil, special gelaran ni.
.
Masa dah berlalu, bapak pun dah tak ada, rindu? Hanya Allah yang tahu dan semoga saya boleh menjadi anak yang baik walaupun arwah bapak dah tak ada. Semoga Allah kurniakan rezeki untuk bertemu bapak di syurga nanti.

Allah hadiahkan kesusahan hidup pada bapak dengan ujian yang berat tapi Allah kurniakan bapak kematian yang mudah dan sangat mudah urusannya. Meninggal pun pada Subuh hari Jumaat, penghulu segala hari. Alhamdulillah.
.
Saya tak sempat jumpa arwah bapak sebab bapak meninggal masa saya final SEM kat UK buat PhD. REMUK hati saya dan saya diberitahu bapak sibuk betulkan zink tempat saya tidur sbb takut nanti kena huja  kalau saya balik kg tidur kat situ. Masa bapak meninggal, adik beradik jumpa gambar saya dan anak2 saya, cucu yang dia tak pernah jumpa dalam beg duit dia. Sedihkan...sayang dia kat anak2 saya wp tak berpeluang jumpa 😭
.
Moga kita semua menghargai seorang insan yang bernama bapa, bapak, ayah, daddy, papa, Abi, walid dan sebagainya. Tanpa dia, tiada kita di dunia ini.
.
Al Fatihah untuk semua bapa di dunia ini tidak kiralah sama ada yang masih hidup atau yang telah pergi. Al Fatihah.
.
#letpassionleadyou
#talipsaryo
#agiidupagingelaban

Sunday, May 26, 2019

MUKJIZAT AL QURAN - BACA SEKURANG2 10 AYAT SEHARI. HIDUP AKAN TENANG WALAUPUN DI LANDA BADAI DAN TSUNAMI KEHIDUPAN

Membaca Al-Qur’an Selepas Maghrib dan Subuh Dapat Menaikkan Kecerdasan Otak hingga 80% dan ia teman di alam barzakh dan akhirat, penenang hidup kita di dunia.

Al Quran Menguatkan Ingatan:
Abdul Malik bin Umair berkata: “Satu-satunya Manusia yang Tidak Tua (awet muda dan tidak pelupa) adalah orang yang selalu membaca Al-Quran".

Al Quran Elak Jadi Nyanyuk:
Al-imam Qurtubi berkata: "Barang siapa yang membaca Al-Quran, maka Allah akan menjadikan Ingatannya Segar meskipun Umurnya telah mencapai 100 tahun".

Al Quran Mudahkan Urusan Kehidupan:
Imam Ibrahim al-Maqdisi berkata: "Perbanyaklah membaca Al-Quran jangan ditinggalkan, kerana sesungguhnya setiap yang kamu Inginkan akan dimudahkan setara dengan yang kamu baca".

Al Quran Bawa Keberkatan:
Sebahagian ahli tafsir berkata: "Manakala kita menyibukkan diri dengan Al-Quran maka kita akan Dibanjiri oleh sejuta Keberkatan dan Kebaikan di dunia".

Al Quran Mengangkat Darjat:
Ibnu Mas’ud r.a bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: Orang yang paling layak mengimami kaum di dalam sembahyang ialah mereka yang terfasih membaca Al-Quran”.

Gandaan Pahala Membaca Al Quran:
Ibnu Mas’ud r.a. ia berkata: “Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada Al-Quran maka baginya satu kebaikan, satu kebaikan menyamai dengan sepuluh pahala, aku tidak bermaksud: Alif, Lam, Mim ialah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” (Hadith Ibnu Mas’ud ini direkodkan oleh Ad-Darimi Tirmizi dalam Sunan Tirmizi)

Sebaik2 Manusia antaranya ialah yang Belajar dan Mengajar Al Quran:
Uthman Bin ‘Affan r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sebaik manusia di antara kamu orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain”. (Hadith Uthman bin Affan ini direkodkan oleh Imam Bukhari dalam Sahih Bukhari)

Pahala Bagi Yang Berusaha Belajar Quran:
Aisyah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w.: “Orang yang membaca Al-Quran dan susah untuk menyebut ayatnya ia mendapat dua pahala”. (Hadith Aisyah r.a ini direkodkan oleh Imam Bukhari dalam Sahih Bukhari)

Peningkatan Darjat dan Penurunan Darjat Asbab Al Quran:
Bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya Allah mengangkat martabat beberapa golongan dan merendahkan martabat yang lain dengan sebab Al-Quran”. (Hadith Umar bin Al-Khattab ini direkodkan oleh Imam Muslim dalam Sahih Muslim)

Beroleh Ketenangan Melalui Membaca Al Quran: Barra’ bin ‘Azib r.a. berkata: “ Seorang lelaki membaca Surah Al-Kahfi dan di sisinya seekor kuda yang diikat dengan dua tali, maka awan di langit mula melindunginya dan semakin hampir, dan kudanya mula menjauhinya. Apabila menjelang pagi beliau pergi berjumpa Nabi Muhammad s.a.w. dan menceritakan peristiwa tersebut maka baginda bersabda: Itulah (sakinah) ketenangan yang turun disebabkan bacaan Al-Quran”. (Hadith Barra’ r.a. bin ‘Azib r.a. ini direkodkan oleh Imam Bukhari dalam Sahih Bukhari)

Al-Quran Sebagai Syafaat di Akhirat:
Abu Umamah berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Bacalah Al-Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya”. (Hadith Abu Umamah ini direkodkan oleh Imam Muslim dalam Sahih Muslim)

Al Quran jadi Pembela di Akhirat:
Nawwas Bin Sam’an berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Di hari akhirat kelak akan didatangkan Al-Quran dan orang yang membaca dan mengamalkan isi kandungannya, didahului dengan Surah Al-Baqarah dan Surah Ali-Imran, kedua-dua surah ini menghujah (mempertahankan) orang yang membaca dan mengamalkannya”. (Hadith Nawwas bin Sam’an ini direkodkan oleh Imam Muslim dalam Sahih Muslim)

Antara kelebihan membaca, mempelajari, mengajari dan mengamalkan ayat ayat suci Quran. Allahumma yasir untuk kita menjadi generasi cinta Al Quran.

#uneed4life
#dosenukm
#stokisdexandrabangi
#mumofhanihana
#cintaialQuran

Saturday, March 16, 2019

APA YANG BERLAKU 2009-2019?
.
Saya tengok ramai orang post gambar #10yearschallenge, 2009 hingga 2019.
.
So interesting dan excited tengok masing-masing dengan keadaan dulu dan sekarang. Bestlah, memang buat saya ketawa dan paling kurang tersenyum. Terima kasih yang sahut challenge ni.
.
Flashback in 2009,
Saya baru diamanahkan untuk menjadi penyelaras TAMAN PAKU PAKIS UKM yang telah bertukar menjadi belukar kerana telah dibiarkan selama sepuluh tahun tanpa penjagaan.
.
So in 2010:
Saya berjaya membuka balik taman tersebut bersama sokongan kuat sahabat baik saya Ruzi Mohamad, Farrah Melissa dan anak murid saya Nurnida Mohd Kamal, juga dengan sokongan pihak kedekanan Fakulti Sains dan Teknologi. Taman ini menjadi kebanggaan UKM sehingga kini.
.
2010 juga saya mula aktif dengan dunia perniagaan pakaian Muslimah yang bermula pada 2008 sehingga berjaya mengumpul RM70K daripada bazar2 yang saya sertai dengan bantuan pekerja yang terdiri daripada students saya.
.
Sekitar 2010 hingga 2014 juga saya diuji dengan fitnah dan cabaran di tempat kerja, menjadikan saya lebih banyak bersunyi2 melakukan kerja2 sendiri tanpa terlalu bergaul dengan rakan sekerja.
.
2011:
Saya bersama bekas suami membuka premis perniagaan pada 11.01.11 iaitu Butik Pengantin Amanie di Seksyen 9. Modal daripada perniagaan busana muslimah yang saya usahakan since 2008. Selama 2 tahun saya kuar buka kiosk (ambik cuti 3 hari sebulan join kiosk kat putrajaya dan USIM) dan join 2 kali bazar Ramadhan PKNS Bangi hingga terkumpul 70K dan digabung dengan duit KWSP 45K serta duit Public Mutual 23K, saya serahkan pada bekas suami untuk bisnes pilihan dia, demi suami tercinta katanya. Syukur tak buat pinjaman bagai.
.
2012:
Saya berpindah ke Bangi Seksyen 3, kononnya mudah nak uruskan bisnes dan menguruskan sekolah anak. Menyewa rumah sewa berdekatan dengan rumah Dr Salmah Yaakop. Tahun ni tahun yang saya semakin bersedih so tak ingat sangat  tapi sedih2 pun banyak gak buku akademik saya dah tulis.
.
2013:
Saya cuba pertingkatkan pencapaian dalam kerjaya di UKM, so alhamdulillah dinaikkan pangkat ke Prof. Madya.

Busines bridal diuruskan sepenuhnya oleh bekas suami dan saya lihat ia semakin merosot. Saya lebih fokus pada anak2 yang sudah mula bersekolah rendah sebab antara semua perkara anak2 atau keluarga ialah no satu bagi saya.

Saya ikut kelas Dr Azizan Osman termasuk IMKK2013, dan 2-3 program beliau untuk bantu bekas suami, namun tiada kemajuan dalam perniagaan malahan saya habis ribuan ringgit daripada duit simpanan.

Akhir 2013 perniagaan tu lingkup dan saya menanggung hutang kad kredit, terpaksa guna gaji untuk cover macam2, masa tulah jugak barang2 emas saya tergadai.

2013 jugak rumah saya di Semenyih terpaksa dijual kerana bekas suami berhutang kad kredit dan tak mampu bayar, juga bebanan kerugian perniagaan bridal.

Tidak putus asa dengan bisnes saya buka kiosk baju muslimah di Bangi Gateway di Acacia Lot dengan duit hasil jual rumah dan kononnya nak bina dunia bisnes pakaian muslimah yang duit teekumpulnya dulu telah digunakan semua utk bisnes bridal bekas suami saya.

Melalui seseorang saya buka satu lagi kiosk di Shah Alam di White Boutique Cafe. Semua tu guna baki duit jual rumah. Akhir 2013 find out yang kat Shah Alam tu tak handle produk kita dengan baik dan kat situ dah rugi lebih 10K.
.
2014:
Saya mendapat penalti daripada LHDN dan kerana saya tidak dapat mengemukakan resit pembuktian (jahil tak simpan resit) saya didenda RM22 500.00. Sudah jatuh ditimpa tangga katanya. Saya bayar RM10K dan bakinya potongan gaji selama 18 bulan.

Pada tahun inilah saya mengenali Puan Erna founder DeXandra di RKMJ (juga salah satu program Dr Azizan) dan mula berminat dengan perniagaan perfume.

Saya start pakai cerminmata, so penglihatan dah menyusut, anak pulak suruh ibu pakai shawl, lebih cantik bu...katanya, so tahun inilah saya start pakai shawl berbanding tudung awning.

Penghujung 2014 saya tutup kiosk kat Bangi Gateway sebab tak terlayan urusan kerja di UKM dan bisnes serta urusan anak2 yang 90 ke 100% sejak dulu saya yang buat. Satu lagi kerugian puluhan ribuan wang ringgit dalam hidup saya.
.
2015:
Saya mula berjinak2 dengan Oshien2U, dan mendaftar sebagai dropship bermodalkan RM150.00 dan akhirnya menjadi agen original reject. Bisnes ni lebih sesuai untuk orang yang bekerjaya atas banyak sebab terutama tentang pengurusan masa. Kerjaya di UKM masih terjaga dan semakin ramai student BSc, MSc dilahirkan termasuklah student PhD, rezeki namanya. Seorang pelajar PhD dilahirkan Dr. Naseer dari Libya.

Pada tahun ini juga hubungan dengan bekas suami menjadi semakin teruk (memang teruk sejak kahwinpun) dan akhirnya kami berpisah pada Oktober 2015, officially 8.2.2016 di Mahkamah Syariah BBB. Berpisah kerana Allah jua, dia tak mampu bawa saya ke syurga.

Masa inilah saya mula bertarung untuk selesaikan hutang kad kredit, menyelesaikan gadaian barang kemas dan juga berikhtiar lebih mencari rezeki untuk anak2 serta mencari duit untuk beli rumah atas nama sendiri. Alhamdulillah, pelajar PhD kedua dihasilkan iaitu Dr Che Nurul Aini daripada UIA Kuantan.
.
2016:
Walaupun dengam pelbagai masalah alhamdulillah  Iman Hani Naziehah Husaini anak saya yang sulung menghadapi peperiksaan UPSR dan alhamdulillah beliau cemerlang. Terima kasih kakak belajar rajin2 dan dia tak nak ke asrama penuh sbb tak sanggup biarkam saya yang dalam kesedihan.

Tuntutan nafkah anak, hak penjagaan anak dan pembahagian harta (rumah) untuk anak selesai dengan saya membelanjakan RM11K. Lawywr syariah tu sangat baik bagi saya bayar secara ansuran hingga habis. Syukur saya menang kes namun dia nak bayar RM300.00 jer bagi seorang dengan alasan dia juga banyak hutang. Fine..lebihnya saya akan tuntut di akhirat.

Hutang kad kredit sebanyak RM24K juga selesai dengan disiplin pembayaran bulanan. Lahir seorang lagi student PhD Dr Nordahlia Abdullah Siam Dahlia Abdullah daripada FRIM Kepong.
.
2017:
Saya mula menjinakkan diri dengan lebih giat dengan perniagaan perfume DeXandra dan alhamdulillah ia semakin baik dari masa ke semasa dan saya dilantik menjadi stokis pada April 2017.

Oleh kerana beban saya semakin bertambah so saya mencapai kesederhanaan sahaja sama ada daripada segi kerjaya atau bisnes, namun bisnes ini membahagiakan saya kerana jumpa sangat ramai orang yg positif dan berhati mulia.

Saya berjaya membeli rumah baru untuk kami di atas nama saya dan berjaya juga membawa anak2 bercuti ke Reading UK tempat kelahiran mereka. Alhamdulillah seorang pelajar PhD lagi Dr Mohd Norfaizal Ghazalli dari MARDI.
.
2018:
Anak kedua Farahana menghadapi peperiksaan UPsR dan beliau mencapai kejayaan cemerlang, saya menangis kerana Allah ganti banyak kesedihan dengan kebahagiaan. Terima kasih Allah.

Pada 2018 juga saya berjaya membuka premis pernigaan sendiri di Outlet Dexandra Bangi,  2.01C, WISMA UNIKEB UKM Bangi. Mula ada Siti Nurul Atikah Ieka dalam dairi hidup saya. Alhamdulillah.

Berjaya menurunkan berat badan sebanyak 10 kilo.

Menang Anugerah Buku Negara dan Buku Ilmiah MAPIM Kategori Sains dan Teknologi. Terima kasih Allah.

Bertambah pelajar PhD Dr Amalia Rusydi dari Indonesia, Dr Ana Syamsurina dari Perlis dan Dr Nor Azahana Hana Lavender Rhea dari UIA Kuantan.

Alhamdulillah juga bila mereka yang suka memfitnah saya semakin mula berbaik dengan saya.
.
2019??? May dreams come true...
.
So ada lebih banyak gagal tapi masih ada jaya dalam tempoh 10 tahun ini. Sedikit sahaja dapat dikongsikan, ada yang boleh diingati dan banyak yang dah lupa atau cuba dilupakan.
.
Moral of the story, teruskan kehidupan sekarang, berdamai dengan kisah silam dan dengan cara itu hati akan lebih tenang. So keep it up and never ever give up 😘.
.
Bila orang tanya, kenapa saya nak berbisnes walaupun sibuk?

1. Kehidupan saya sunyi sebenarnya wp saya pernah berumahtangga selama 14 tahun, so menyibukkan diri adalah salah satu cara saya menghiburkan kesedihan dan kesunyian.

2. Kehidupan dulu asyik ada masalah kewangan dan bekas suami asyik tiada bajet so dengan berbisnes saya harap boleh bantu kewangan keluarga, namun sebaliknya yang berlaku kecuali bisnes saya bersama DeXandra sekarang, alhamdulillah banyak membantu saya dan keluarga. So kalau nak bisnes pilih bisnes yang betul 💕💕💕

4. Kehidupan saya dalam dunia akademik agak serius dan hanya banyak membantu serta bekerjasama dengan mereka yang level akademiknya tinggi, so menceburi dunia niaga saya berjumpa semua lapisan masyarakat dan semua lapisan pendidikan. Baru saya kenal lebih ramai jenis manusia di dunia ini.  Warna warni latar belakang manusia ni sangat menghiburkan hati saya.

5. Kehidupan saya ini, saya harapkan menjadi jalan2 untuk ke syurga so saya berdoa agar Allah jadikan jalan2 saya lalui dalam dunia ilmu, dunia niaga dan membesarkan dua anak umat Muhammad saw ini akan membantu saya masuk ke syurgaNya.

6. Saya ingin merasai apa yang membina jatidiri diri kita apabila kita berbisnes dan saya nak alami apa yang Rasulullah saw rasai dan amalkan apabila berbisnes.
.
Alhamdulillah kehidupan saya sekarang, tidaklah kaya dan tidaklah miskin sehingga saya perlu meminta2.

Namun segala hutang banyak telah diselesaikan, keperluan diri dan pendidikan anak2 serba kecukupan, dan kesedihan bukan lagi sahabat baik saya malahan Allah dah datangkan lebih ramai yang buat saya ketawa dan tersenyum setelah saya hidup bergelar supermum 😀.
.
Terima kasih Allah maka memang benarlah janjian Allah 'Dia adalah pada sangkaan hambaNya' so sangka baiklah pada Allah walaupun yang buruk2 menimpa kita.
.
Allahumma yasir untuk kehidupan kita semua yang bakal ditempuh pada 2019.
.
Moga2 kehidupan akan datang jauh lebih baik daripada yang terdahulu. Moga kehidupan kita ada keberkatan dan penuh dengan keredhaanNYA.
.
Saya doakan impian baik2 kita akan tercapai sekiranya ia baik untuk dunia dan akhirat kita. Aamiin ya Mujib.
.
#10yearschallenge

Sunday, February 3, 2019

[BAHAGIA DALAM DERITA]
.
Saya jarang2 outing dengan kawan2 sekerja sebab lebih banyak masa bersama pelajar2 dan anak2 saya jer ataupun dengan team DeXandra Braniteam.
.
Selepas pertemuan dengan VC kelmarin saya pun outing dengan dua rakan akademik. Hendak direzekikan, mereka berdua merupakan antara wanita2 bertuah dalam hidup kerana mempunyai keluarga yang baik, latarbelakang keluarga yang baik, rupa patas yang baik, kehidupan yang baik dan bagi saya apa yang ada pada mereka jauh lebih baik daripada saya.
.
So bila bercerita bersama2, keluarlah cerita2 berkenaan kehidupan, keluarga, pekerjaan dan lain lain. Seronok sangat mendengarnya dan kesimpulan cerita kami bertiga adalah di kalangan mereka yang bahagia dan sihat sehingga umur yang dikurniakan Allah sekarang, alhamdulillah syukur.
.
Apa yang membezakan saya ialah, saya tidak mendapat nikmat rezeki yang sama dengan mereka, nikmat rezeki saya lebih kepada ujian kesusahan dan cabaran hidup yang senantiasa datang.
.
Bila mendengar cerita mereka, saya dapati saya tiada nikmat kasih dan perhatian ibubapa malahan sering menjadi bahan ketegangan antara mereka ketika mereka masih hidup. Maki, pukul dan pengabaian itulah yang kami adik beradik alami setiap hari. 
.
Namun alhamdulillah hubungan kami dengan ibubapa tetap baik malahan saya tidak pernah menyalahkan mereka atas kehidupan suram yang mereka hadiahkan. Kesusahan yang mereka kurniakan jadikan kami adik beradik sangat kuat jiwa dan semangatnya wp ada di antara kami yang struggle. Alah kalau kita lihat sekatang ni, ada sahaja anak anak yang dapat apa yang sepatutnya daripada ibubapa, namun tetap gagal hadapi kehidupan. Na'azubillah. So saya kena syukur sebab Allah menunjuk jalan yang baik dalam kehidupan walaupun tanpa pedoman daripada ibu atau bapa.
.
Bila mendengar cerita sahabat2 saya ni,  jelas juga menunjukkan mereka dan pasangan suami masing2 merupakan pasangan yang bahagia, isteri yang dikasihi suami, dihargai suami dan diberikan keperluan sebaik2 oleh suami. Sedangkan saya dihina, diabaikan, diburuk2kan dan akhirnya dia memilih kaum sendiri, lansung mengabaikan saya dalam kehidupan 14 tahun berumahtangga. Masa tu baru saya tahu walaupun kita tidak dibelasah suami tapi pengabaian merupakan deraan mental dan emosi yang sangat menyakitkan.
.
Sehingga kini saya tak tahu bagaimana sebenarnya mempunyai suami yang baik, bagaimana mempunyai suami yang tahu tanggungjawab dan menunaikan sebaik2 keperluan isteri. Saya tidak tahu suami yang boleh mendidik dan mengajar erti kehidupan dalam berkeluarga. Kehidupan saya bersama dia hanya kesedihan dan airmata yang menjadi makanan harian. Lakonan sebagai pasangan bahagia akhirnya terbongkar jua, sebab lakonan ni tak boleh bertahan lamakan. 
.
Namun alhamdulillah, saya mendapat ganjaran  yang terbaik daripada kehidupan rumahtangga yang derita itu terutama sangat2 menghargai kehidupan yang sangat baik setelah beecerai. Malahan saya jadi lebih menghargai saat2 hakim mengumumkan kami sah bercerai, nikmat Allah yang tiada terhingga hebatnya. Allah sahaja yang faham perasaan saya ketika itu. Syukur tahap gaban.
.
Bila bercerita tentang karier pun, saya punya perjalanan untuk capai ke tahap sekarang sebenarnya amat berbeza dengan mereka. Penuh keluk dan ranjau, barulah boleh mencapai jawatan sekarang, menjadikan saya lambat berbanding mereka.
.
Namun bila saya gunakan peluang sebaik2nya sehingga mencapai level yang sama dengan mereka dan semoga saya terus gigih nak naik ke tahap yang lebih baik lagi. Orang kata better late than never tu sangat berguna sebenarnya.
.
Saya juga bersyukur kerana saya menjadi lebih faham, untuk bahagia kita tidak semestinya dapat nikmat rumahtangga bahagia, dapat nikmat ibubapa yang pengasih, nikmat kecukupan daripada segala galanya ...... bahkan kita akan lebih bahagia jika kita syukur dengan nikmat ujian kesakitan dan kesusahan yang Allah beri. Apabila dikurniakan nikmat, kita akan lebih menghargai. Percayalah. Betullah pepatah Inggeris yang menyebut 'we need WINTER, to appreciate summer and spring', derita waktu winter tu buat mereka menghargai nikmat waktu summer dan spring.
.
Ramai sangat yang berkata dengan saya 'Bestnya jadi macam awak ani". Kalau tengok betul2 ... mana ada bestpun, hidup saya ni, sbb kena struggle kan daripada dulu hingga sekarang. Penat hanya Allah yang tahu.
.
Namun sebab saya senantiasa qanaah dan syukur dengan apa yang ada pada saya,  TERASA BAHAGIA tu seolah2 dijemput2 datang, maka terhijab segala kekurangan dan kecacatan dalam hidup, malahan hanya keceriaan dan kegembiraan yang tampak lahir di wajah saya.
.
Terima kasih Allah kerana kehidupan yang Allah kurniakan benar2 menjadikan saya manusia yang tahu erti SYUKUR PADA APA SAHAJA YANG ALLAH KURNIAKAN walaupun apa yang dikurniakan itu derita dalam kehidupan apatahlagi bahagia dalam kehidupan
 .
Allahumma yasir atas perjalanan hidup di dunia ini. Bila susah atau senang cuma ingat seperkara, matlamat akhir hidup kita adalah syurga iaitu capailah keredhaan Allah.
.
MY Sharing 
https://t.me/joinchat/AAAAAEWAfbCzwthKcmSMnQ
.
Jom kejari kebahagiaan Allah itu adalah destinasi.
.
#dosenukm
#stokisdexandrabangi
#mumofhanihana
#365harimencarisyurga

Sunday, January 27, 2019


HADIAH PERCUTIAN KE MALDIVES DARIPADA DEXANDRA
.
Alhamdulillah Allah kurniakan rezeki yang sangat banyak selepas kemuncak kesedihan dalam hidup saya. Selama lebih kurang 14 tahun saya simpan kesedihan dalam hati yang memakan hati dan sanubari. Namun saya teruskan kehidupan dengan seadanya dan menyerahkan segala-galanya pada Allah.
.
Dan dengan kesedihan itulah saya melangkah menempuh hidup bersama sama 2 anak yang mampu memberi kekuatan dalam hidup saya. So walau apapun terjadi mereka tetap saya bawa walau ke mana sahaja saya berada.
.
Sejak 2017 sehingga kini kehidupan saya semakin baik. Dan semasa kesusahan kewangan saya tempuh dari 2014 hingga 2016, saya jinakkan diri dengan perniagaan DeXandra sebab support yang diberikan oleh jemaah dan founder serta HQ DeXandra sangat baik. Lagipun bisnes ni lebih mudah diuruskan berbanding yang lain kerana bahan 'marketing semua telah tersedia'.
.
Saya amat perlukan bantuan kewangan sebab nak berikan cukup pendidikan agama dan akademik untuk anak2. Penginapan yang baik, keperluan diri dan pelbagai liability yang perlu saya tanggung.
.
So bermulalah saya bersama DeXandra pada 2015, mula2 tidak konsisten dan tidak begitu beri komitmen, mula konsisten dan beri komitmen pada 2016 apabila bertemu stokis Kajang Louis Anak Jumpot, akhirnya bersama beliau dan usaha sungguh2 serta pertolongan yang Allah kurniakan kepada saya, saya naik kepada stokis. Terima kasih wes sudi bimbing akak. Syukur alhamdulillah.
.
Perjalanan sebagai stokis tidak mudah rupanya, lebih besar tanggungjwab dan banyak bebanan perlu ditanggung. So sebagai stokis saya naik perlahan2. Pelbagai cabaran yang ditempuh kerana berkerja, berniaga sorang2 dan sebagai single mum memang amat mencabar cabaran yang dilalui.
.
Dan pada 13.01.209 ketika saya diistiharkan layak mendapat tiket ke Maldives di bawah tajaan DeXandra kerana good performance in 2018, saya menahan airmata yang mahu menitis jatuh, sedih dalam kegembiraan, kerana ia bukan sahaja kejayaan saya, malahan kejayaan Braniteam iaitu team DeXandra saya yang teediri daripda agen2 dan dropships yang berusaha memperbaiki ekonomi mereka juga kejayaan anak anak saya yang menjadi tulang belakang dalam perjuangan saya.
.
So saya mohon sahabat2, doakan saya mampu untuk mengadakan bajet untuk membawa sekali Farahana Hidayah dan Iman Hani Naziehah Husainibersama sama saya ke Maldives bagi meraikan saat gembira bersama sama, kerana tanpa mereka saya tidak akan sekuat ini. 
.
Terima kasih tidak terhingga buat anak2 Braniteam DeXandra kerana tanpa mereka impian ini tidak akan menjadi nyata. Terima kasih HQ DeXandra. Terima kasih semua sahabat dalam jemaah DeXandra yang ikhals terhadap saya, syukur bertemu kalian.
.
"Ya Allah Engkau kurniakanlah Rahmah, Kasih dan BantuanMu buat anak anak Braniteam dan juga semua fighters jemaah, founder dan kakitangan DeXandra yang lain untuk menjadi tentera jihad ekonomi ummah, jadikanlah DeXandra punca rezeki mereka sekeluarga dengan rezeki yang melimpahruah seperti air sungai yang mengalir deras. Moga dengan rezeki ini dapatlah mereka terus beribadah kepadaMu"
.
Aamiin aamiin aamiin ya Mujib
.
Terima kasih Allah.
.
#letpassionleadyou
#dexandrawangiankehidupan
#2019kitapunya
#stokisdexandrabangi
#outketdexandrabangi
#braniteamdexandra


[MATLAMAT 2019. MOGA ALLAH PERMUDAHKAN]
.
Matlamat saya 2019 belum siap ditulis tapi 20 dah ada. So saya nak share, mohon amiinkan ye. Dan kalau kawan-kawan nak saya aamiinkan matlamat uolls boleh (sila tag), sebab saya tak sempat nak scroll baca post FB banyak2, masa limited.
1. Turun berat badan 9 - 10 kg by Mei 2019. Capai berat ideal at 50 to 52kg-diri sendiri
2. Penerbitan sekurang2 3 buku daripada tajuk-tajuk berikut-kerjaya
i. Anatomi dan Mikroskopik Tumbuhan
ii. Anatomi Bombacaceae
iii. Anatomi Moraceae
iv. Palinologi Acanthaceae
v. Palinologi Sapindaceae
vi. Palinologi Dipterocarpaceae
vii.Anatomical Atlas of Medicinal Plants Vol.6
viii. PP Makanan dan Ubatan di Semenanjung Malaysia
x. Penyediaan dan Panduan Spesimen Herbarium
3. Hafaz dan lancar surah al-Mulk-diri sendiri
4. Hafaz dan lancar 10 ayat terakhir surah alKahfi dan 10 ayat terakhir surah alKahfi-diri sendiri
5. Published sekurang2 10 jurnal akademik-kerjaya
6. Kemaskini permohonan kenaikan perjawatanUKM-kerjaya
7. Umrah Disember 2019 bersama keluarga-keluarga
8. Percutian Maldives 2019 bersama team DeXandra dan anak2-keluarga dan bisnes
9. Nikah pada 14.07.19 atau 21.07.19-keluarga dan diri sendiri
10.Simpanan di THaji Malaysia mencukupi untuk ticket 2 orang-diri sendiri
11.Sales Outlet DeXandra Bangi mencapai target yang disasarkan dan berjaya bantu anak anak braniteam-bisnes
12.Konsisten zikir harian, bangun malam dan solat awal waktu-diri sendiri
13.Konsisten mengajar subjek sains nak Ting 1 dan 3-keluarga.
14.Infa' zakat, waqaf dan korban terlaksana secara konsisten-keluarga, diri sendiri, bisnes
15.Melahirkan sekurang2 5 pelajar PhD yang berjaya bergraduasi dengan jayanya-kerjaya
16.Melahirkan 2 leader dalam BraniteamDeXandra-bisnes
17.Mempunyai Kiosk usahasama atau milik agen di mana-mana Mall di sekitar kawasan berdekatan-bisnes
18.AL-Mathurat, solat jemaah Maghrib isyak dan tartil bersama anak2 di amalkan secara konsisten-diri sendiri dan keluarga.
19. Senaman diamalkan secara konsisten 2 kali seminggu-diri sendiri
20.Bebas hutang gadaian dan kad kredit CIMB-diri sendiri
ALlahumma yasir untuk Matlamat 2019. Semoga Allah permudahkan. Semoga lebih banyak memberi in 2019. Aamiin Aamiin Aamiin ya Mujib

Doa Ashabul Kahfi

Perkongsian Ustazah Asma Harun pada pagi 22.11.21 mengenai Doa Ashabul Kahfi daripada Ayat 10 Surah Al Kahfi. Jika kita ditimpa masalah bes...