Wednesday, February 28, 2018



[ALLAH BAGI SESUATU TIDAK CEPAT TETAPI TEPAT PADA MASANYA]

Sebagai seorang manusia biasa kita akan selalu mengharapkan apa yang kita hendak, mahukan atau inginkan berlaku dengan cepat sepertimana yang kita kehendaki atau rancangkan. Sekiranya kita lambat beroleh sesuatu kita akan berasa kecewa, sedih dan adakalanya berputus asa. Itu adalah lumrah seorang insan biasa bernama manusia. 
.
Saya juga seperti itu. Saya nak cepat berjaya, nak cepat kahwin, nak cepat dapat anak, nak cepat bekerja, nak cepat kaya dan nak cepat segala-galanyalah. Namun setelah hidup hampir setengah abad saya mempelajari bahawa Allah tidak mengurniakan sesuatu itu CEPAT masanya tetapi Allah mengurniakan sesuatu itu TEPAT pada masanya. Kerana DIA yang Maha Mengetahui dan lebih faham sama ada kita telah sedia atau belum bersedia menerima sesuatu kurniaan. 
.
Mengimbau kembali zaman saya terlalu inginkan menjadi pelajar universiti sekitar tahun 1990 dan 1991 dahulu. Tapi Allah ujikan dengan tiada tawaran kemasukan ke mana-mana universiti sedangkan results STPM saya agak baik. Saya jadi sedih dan gundah gulana. So saban hari saya menulis sajak dan syair tentang universiti, saya bawa diri ke Sg Sibol ke rumah kakak sulung Kak Kiptiah untuk bekerja kilang di Senai, Johor sebab hilang arah tujuan bila hajat nak ke universiti terhalang. Penantian menunggu posmen di anak tangga rumah dah berakhir kerana sejak lepas SPM saya sangat berharapkan gelaran menjadi siswa universiti tapi gagal, setelah STPM pun saya masih gagal. Kawan-kawan yang sealiran semua dan bergelar siswa universiti termasuk Rusiah Salim yang ambik STPM dengan saya. Rupa-rupanya Allah takdirkan saya menjadi siswa UITM 1991-1992, siswa UKM pada 1993-1998, siswa Flinders University Australia 1999, Reading University United Kingdom 2003-2006 dan menjadi pensyarah UKM 2007 sehinggalah sekarang. Maka bermaustautinlah saya di universiti tidak tahu sehingga berbelas tahun lagi agaknya, dan saya telah menjadi siswa banyak univeristi berbanding rakan-rakan yang lain. Indahnya satu doa yang Allah kurniakan setelah saya bersedia untuk menjadi penghuni universiti. Baiknya Allah.
.
Saya juga mengimpikan mendapat pekerjaan di usia muda dan boleh naik pangkat lebih awal dengan gaji yang lebih baik namun saya ditakdirkan lambat masuk universiti dan disebabkan itu saya menjawat pekerjaan lebih lewat berbanding rakan-rakan sekelas. Saya masih ingat semasa saya dilantik menjadi tutor, saya baru hendak menyambung PhD, kawan-kawan seusia dan balik ke UKM masuk bertugas sebagai pensyarah. Jangan kata kawan-kawan yang bukan di universiti juga mereka dah kira 4-5 tahun bekerja. Saya sibuk habiskan masa ambik STPM dan Diploma baru dapat buat ijazah dan nak sambung PhD pada masa tu. Namun apa yang berlaku dalam hidup saya sungguh miracle kerana ditakdirkan sebaik-baik sahaja saya menghabiskan PhD dalam tempoh 3 tahun Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mewujudkan perjawatan DS51 yang menyamai perjawatan DS52 bagi pensyarah yang telah lama berkhidmat. Syaratnya cuma beroleh PhD sahaja, subhanallah saya terus mendapat jawatan setara dengan mereka yang telah berkhidmat dengan KPT selama 5-6 tahun. Lihat betapa baiknya Allah. DS51 telah jumud sekarang seolah-olah ianya wujud hanya untuk meraikan hajat saya yang teringin setara dengan rakan-rakan yang lain. 
.
Berkenaan dengan anak pulak, Ya Allah sape tak nak dapat anak cepat. So lepas 2 tahun kahwin tak jugak dapat anak, menangislah selalu, kawan-kawan yang nikah lebih kurang tarikh yang sama termasuk yang nikah lebih lewat dah ada anak. Biras pun dah pregnant 2 kali. Sehinggalah field work terakhir dilakukan di Hutan Simpan Bukit Lagong, Reading University bagi tempoh 6 bulan balik Malaysia buat field work collect samples. Entah macaman, boleh muntah lepas makan roti canai sardine. Find out rupanya pregnant betul-betul setelah selesai collect samples untuk penyelidikan PhD. Subhanallah baiknya Allah, dikurniakan anak setelah semua kerja berat masuk keluar hutan selesai, so boleh fokus pada kerja makmal dan penulisan sahaja. Allahu akbar, masa tu terasa sangat cantiknya perancangan Allah, kita aje yang selalu mempersoalkan rezeki yang lambat sampai.
.
Ya Allah, ada banyak lagi peristiwa yang berlaku dalam hidup saya, yang saya perasan ianya berlaku setelah saya benar-benar sedia menerimanya. Semalam semasa saya meraikan kemenangan sahabat saya ke Jepun 2018 atas rewards sales DeXandra, saya terus terfikir sebab kenapa saya tak menang. Pada keadaan sekarang ketika saya dengan urusan anak-anak sekolah, ada yang akan menghadapi peperiksaan UPSR, serta saya sedang sibuk dengan kuliah maka akan kelam kabutlah kalau terpaksa bertolak ke Jepun untuk tiket kemenangan. Ya Allah betullah Allah akan kurniakan sesuatu TEPAT dan bukan CEPAT waktunya. 
.
Moral of the story jika kita ingin sesuatu yang baik berlaku dalam hidup kita maka:
1. Teruskan berusaha dan berikhtiar ke arah itu tanpa ragu-ragu
2. Teruskan berdoa dan berharap pada Allah s.w.t
3. Sangat yakin dan berharap Allah akan mengabulkan doa kita
Kerana ada doa yang disegerakan kerana telah sesuai dan sampai waktunya, ada doa yang ditangguhkan kerana belum waktunya dan kita belum bersedia, dan ada doa yang digantikan dengan perkara lain yang lebih baik buat kita. 
.
Firman Allah:

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِى عَنِّى فَإِنِّى قَرِيبٌ‌ۖ أُجِيبُ دَعۡوَةَ ٱلدَّاعِ إِذَا دَعَانِ‌ۖ فَلۡيَسۡتَجِيبُواْ لِى وَلۡيُؤۡمِنُواْ بِى لَعَلَّهُمۡ يَرۡشُدُونَ
Artinya: “Dan apabila bamba-bamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Q.S. Al-Baqarah [2]: 186).
“Dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir”. (QS. 12:87)
.
Teruskan berdoa dan berharap padaNYA. Moga Allah menjadikan kita golongan yang senantiasa berharap dan meletakkan pergantungan padaNya. Aamiin aamiin aamiin ya Rabbal alamin Ya Mujib

Tuesday, February 27, 2018

  

[SIAPAKAH SEBENARNYA HERO KITA-UNSUNG HEROES]


Wanita yang pakai tudung pink ni ialah kakak saya yang no.2, anak keempat daripada lapan beradik. Namanya ialah Dr. Jannah Talip seorang doktor perubatan dan memiliki sebuah klinik di Kluang, Johor. Kami panggil dia kak co ambilan daripada kakak besar sebab masa tu kami anggap dialah kakak paling besar bukan daripada segi badan tapi daripada segi tanggungjawab, dia bagai anak yang sulung, daripada besar jadi beso sebab orang Johor memang suka jadikan banyak perkataan dengan 'o' , dan akhirnya jadilah Kak Co. Saya yakin dan pasti, tiada gelaran ini seumpamanya dalam mana-mana keturunan bangsa Melayu...yang paling dekat kak Chaq. Dia bagai emak jugak sebab emak kami memang sakit akibat buatan orang dan tak dapat menjalankan tanggungjawab sebagai ibu. Sejak kecil saya sangat mengagumi beliau kerana beliau sangat pandai belajar, pandai baca al-Quran, sabar dan sangat baik pada adik beradik, malahan sangat baik kepada arwah bapak yang banyak melalui susah senang ketika kami masih kanak-kanak lagi. Dialah antara guru mengaji Quran saya selepas arwah bapak serahkan pada beliau. Saya sangat mengagumi beliau sehingga tulisan tangannya pun saya ikut. So kalau tengok tulisan tangan saya memang exactly sama dengan tulisan tangan beliau.
.
Saya masih ingat masa kecik-kecik dialah yang paling banyak beri semangat, paling banyak berkorban, paling penyayang dan paling banyak ambik berat tentang adik-adik dan masalah keluarga. Kakak yang sulung dah berkahwin ikut suami, abang no.2 dan no.3 dengan hal sendiri sebab tu sampai dewasa saya tak percaya yang lelaki akan jaga keluarga mereka sebab saya tengok kakak-kakak saya yang lebih jaga keluarga sedangkan abang-abang asyik dengan hal sendiri. Waktu kecik2 arwah bapak memang lebihkan anak lelaki sebab bapak kata, anak perempuan bila kahwin akan ikut suami dan tak bersama keluarga dan anak lelaki akan tetap jaga keluarga. Mungkin arwah bapak cakap macam tu sebab arwah bapak memang dididik begitu. Duit belanja sekolah pun kami tak pernah dapat tapi abang-abang kita orang dapat, so tengok aje dia orang dapat 20 sen sehari, masa tu besar nilainya, boleh beli sepinggan nasi lemak atau nasi goreng sebab sepinggan cuma 10 sen aje. Tapi bila anak-anak dah besar kami anak-anak perempuan yang bagi bapak duit, tolong bapak dan selalu support bapak, sehingga satu hari masa tengah pijak belakang bapak (urut hilangkan sakit belakang), saya tanya 'Pak, kenapa bapak selalu lebihkan anak lelaki, kenapa bapak tak adil ngan kita orang', Arwah diam kemudian menjawab 'Takyahlah sebut macam tu, bapak tak nak ingat dah yang lama-lama tu, bapak tahu, bapak salah'. Nampak ada airmata keluar sedikit daripada hujung mata bapak. Rasa menyesal sangat masa tu sebab tersinggungkan perasaan arwah bapak.
.
Berbalik cerita tentang kak Jannah yang kami panggil Kak Co. Dia bagai kak long dan dialah pembakar semangat kami iaitu adik-adik di bawah beliau iaitu Kak Rohayah Talip (Kak ana), saya, Roselimah Talip dan Salihan Talip (subuh). Masa kecik-kecik kak co yang susun atur hidup kami, masa makan, masa main, masa belajar dan masa pergi kebun tolong bapak bersihkan kebun Genuang dan tanam pokok getah. Kak Co ketua masak, ketua basuh kain, ketua kemas rumah, ketua celebrate hari raya dan ketua segala-galanya. Kak co suka bola sepak kami pun suka bolasepak, so kak co jadi Soh Chin Aun, Kak Ana jadi Arumugam, aku jadi Hassan Sani, Imot jadi Muhideen dan Subuh jadi Abdah Alif so bila tengok filem Ola Bola kami menangis sebab teringat kisah masa kecik-kecik tu, dengan sebab semangat pasukan bola sepak negara tu juga buat kami jadi sangat bersemangat, dia jadikan kami menteri kabinet juga, Co jadi Tun Hussien Onn, saya jadi Tun Mahathir, dan adik beradik lain pun ada ikon masing-masing. Tahu tak benda tu menjadikan kami bersemangat sebab semua ikon tu orang orang hebat dan berjaya serta popular. Mana datang semua tu pun kami tak tahu tapi itulah antara perkara yang buat kami bersemangat selalu. Saat paling best ialah masa Kak Co balik sekolah menengah dulu, setiap hari Rabu kalau tak silap kami akan tunggu kak Co balik sekolah naik motor dengan bapak, sebab kak co akan bawak balik makanan sedap-sedap daripada sekolah, hasil masakan subjek Sains Rumahtangga. Co kata, dia ambik subjek tu sebab dia nak belajar masakan sedap-sedap dan nak belajar jahit, semua demi keluarga. Terharukan. Dan banyak masakan saya adalah resepi daripada beliau atau ajaran daripada beliau, salah satunya Ayam Panggang Johor dan Benjo Telur Roti Potong. Saya masih ingat bila kak co masuk universiti (Universiti Malaya) ianya saat paling sedih sebab bila kak co dah tak ada keadaan rumah jadi kurang terurus dan agak kucar kacir sebab selama ni kak co yang uruskan semua. Saya hampir tiap hari tulis surat kat kak co sebab terlalu rindukan dia...tapi tak ingat saya poskan ke tidak. Tak kot, yelah sape nak belikan stem dan tolong poskan kan. Saat paling best ialah dapat surat atau poskad daripada beliau, penuh semangat dan beri kasih sayang.
.
Masa cuti kak Co kerja kongsi kong (kerja tebas semak, potong daun kelapa sawit, tanam pokok kat ladang dll yang seumpamanya) iaitu kerja kat ladang estet sebab nak gunakan duit tu untuk beli baju raya kami adik beradik, kak co jugak kongsikan biasiswa dia untuk kegunaan bapak beli keperluan keluarga dan juga bagi pada kami untuk beli barang-barang sekolah. Kalau tengok tangan Co, dialah yang ada tangan yang kasar sebab buat semua kerja macam lelaki untuk selesakan kehidupan kami. Kak co jugak yang beli langsir rumah, beli periuk belanga dan macam macam lagi keperluan kat rumah tu, pendek kata dia berkorban segala-galanya yang dia ada untuk kami sekeluarga. Dia bawak kami gi KL ke UM untuk beri kami semangat supaya belajar rajin-rajin sebab dia kata hanya pelajaran yang boleh bawa kami keluar dari dunia kemiskinan dan keluar daripada kampung. Saya dapat masuk UITM Perlis pun Co yang bersusah payah sediakan kenderaan hantar teksi dari Kelantan untuk ambik kami di Segamat bawa kami ke Arau Perlis, sebab masa tu kak Co bertugas di Hospital Pasir Puteh, Kelantan. Masa saya masuk UKM Bangi pun, CO jugalah yang susah payah sediakan saya kenderaan untuk mendaftar ke UKM. Semua kejayaan saya adalah berkat sokongan dan semangat daripada Kak Co. 
.
Antara saat paling best dengan beliau ialah saat Co beli kereta Proton Saga DS4911, plat Kelantan sebab Co kerja jadi Doktor kat Hospital Pasir Puteh Kelantan, saat dapat beraya dengan Co kat Hospital tu sebab co kena on-call time raya so saya temankan, kami nyanyi lagi arwah Allahyarham Sudirman lagu Dendang Perantau ke tajuk dia? tak ingat tapi lagu Sudirmanlah, saat dapat melawat UM dan KL Co bawak saya, kak Ana, Imot dan Subuh untuk beri kami semangat tengok dunia luar, saat pergi kebun Genuang tiap-tiap petang dengan arwah bapak sekali sampai malam siap masak-masak kat pondok kebun tu, saat konvo Master dan undergraduate kat UKM sebab nampak Co sangat happy dengan kejayaan adik dia, saat kami raikan kejayaan pasukan bolasepak Malaysia masa Pesta Bola Merdeka macam cerita Ola Bola tu, masa kami baring sama-sama atas tanah kebun sambil tengok langit berbintang penuh lepas lari dari rumah kena kejar dengan arwah mak yang kena angin bila penyakit dia datang...dan ada banyak lagi moment happy dengan Co masa dulu-dulu yang actually satu-satunya masih kemas dalam lipatan ingatan.
.
So bila saya fikirkan walaupun saya dah bertemu dengan orang hebat hebat seperti pengasas DeXandra Puan Ernayanee yang sangat mengkagumkan, Puan Fadhilah pengasas Telekung Siti Khadijah, Puan Dilla Mamadill pengasas susu Mamadill, Datuk Faridah Hanim, DR. Azizan, Profesor Emeritus Dato Dr Abdul Latiff Mohamad, insan hebat-hebat di dunia akademik dan dunia niaga, dan ramai lagi orang hebat-hebat yang berjaya di dalam dunia masing-masing sebenarnya orang yang paling hebat ialah orang paling dekat dengan kita. Kita selalu lupa menghargai dan lupa akan jasa-jasa orang yang paling dekat dengan kita seperti ibubapa, suami, isteri, adik beradik dan lain-lain, lebih nampak orang lain daripada mereka yang dekat dengan kita. Hampir dikatakan macam kacang lupakan kulit, semoga saya tidaklah sampai macam tu sebab tu saya masih selalu hadiahkan sesuatu untuk dia sebab dia adalah ratu hati saya sebenarnya. Sebenarnya orang yang paling hebat ialah orang-orang yang dekat dengan kita, orang yang ALlah datangkan kepada kita sejak awal hingga kita sekarang, atau Allah datang pada ketika kita tiada keupayaan untuk melangkah lebih jauh. 
.
Masa balik kampung baru-baru ni saya singgah rumah Kak Co, lepas makan makan macam biasa, saya ajak kak Co bergambar kenang-kenangan untuk tahun 2017. Co bersiap pakai tudung elok-elok, dan Co memang nampak lebih cantik dengan shawl, Co kata semua orang dah cantik-cantik pakai shawl so Co nak jugak. Kami bergambar dekat wakaf depan rumah Co. Masa bergambar dengan Co, saya pegang tangan dia dan tiba-tiba dia pegang tangan saya balik, TIba-tiba rasa sebak sangat kerana sebenarnya dialah hero saya yang berkorban banyak untuk saya berjaya keluar daripada kemelut kemiskinan dan keluar daripada Kg. Melayu Raya, Segamat mencari sesuatu yang lebih baik dalam hidup. 
.
Allah berikan dia kebaikan dalam hidup kerana keikhlasannya membantu keluarga dulu. Anak-anak Co semua bijak-bijak dan berjaya dalam pelajaran, Co dapat membuka klinik sendiri dan alhamdulillah hidup selesa dengan suami yang penyayang dan sangat menyayanginya. Allah itu adil walaupun kami tak dapat membalas jasa-jasanya tapi Allah berikan kebaikan dalam hidupnya. Walaupun kak Co tak akan baca cerita ni sebab dia sekarang lebih menumpukan kepada ibadah khusus dan tak peduli sangat hal dunia facebook, blog dan insta namun saya akan sentiasa mendoakan agar Allah berikan segala kebaikan di dunia dan akhirat kerana tanpa pengorbanannya saya tidak akan berada di sini.
.
Mari kita latih, listkan mereka yang sebenarnya hero dalam hidup kita untuk, kalau tidak dengan harta, sedekahkan dengan doa dan al Fatihah untuk mereka agar kehidupan kita lebih diberkati dan kita menjadi orang yang bersyukur. Saya sangat sayangkan Kak Co dan juga hero-hero lain yang ada dalam hidup saya. Saya gelarkan mereka my UNSUNG HERO iaitu hero yang tidak kita sedari atau hero yang tidak digembar gemburkan atau hero yang tidak nampak (not celebrated, not praised or acclaimed). Merekalah antara orang yang wajar mendapat kasih sayang, doa dan hadiah daripada kita terlebih dahulu berbanding orang lain yang datang kemudian dalam hidup kita.

#letpassionleadyou
#stokisdexandrabangi
#365harimencarisyurga
#menjunjungilmumencaritaqwa

#kecintaanAllahadalahdestinasi

Monday, February 26, 2018



[SUCCESS is EARNED  - Kisah Ummi Khadijah Stokis Bandar Sri Permaisuri]
.
Success in earned jika ditakrifkan dalam Bahasa Melayu menunjukkan ianya sesuatu DAPATAN daripada sesuatu pekerjaan yang dijalankan. Kejayaan ni bukan HADIAH, PEMBERIAN atau PERCUMA, ianya sesuatu yang diperolehi daripada pelbagai usaha yang bersifat:
1. Sistematik (tersusun)
2. Berterusan(istiqamah/ in English we call it consistent)
.
Ianya juga memerlukan;
1. Komitmen (lebih tinggi komitmen maka lebih tinggi peluang untuk mencapai kejayaan)
2. Fokus(lebih tinggi fokus maka lebih tinggi) 
3. Lingkungan (circle yang betul dan tepat boleh membantu mudah capai kejayaan)
4. Mentor (lebih mudah kejayaan dengan belajar daripada mereka yang 
5. Kemahuan yang tulen (passionate)
6. Matlamat (BIG WHY kenapa kita perlu mencapainya)
7. Ilmu yang berkaitan fokus yang ingin dicapai, so kena ada ilmu, amal ilmu
.
Dalam dunia perniagaan memang saya masih terumbang-ambing dilanda badai dan ribut, saya masih mencari jalan untuk menghadapinya malahan mengendalikan bahtera perniagaan pun saya masih belum arif kerana bahtera saya masih bocor di sana sini, masih bergerak tidak keruan dan masih lagi terhenjut-henjut perjalanannya. 
.
Daripada situlah saya mencari mentor-mentor di kalangan stokis yang berjaya sehinggalah saya bertemu dengan Puan Iffah Sharifah dan Tuan Sham, saya bertemu dengan Puan Louis Jumpot, dan baru-baru ni saya bertemu dengan Puan Siti Khadijah Stokis DeXandra Bandar Sri Permaisuri. Asalnya saya hanya nak belajar tentang rewards dan insentive bagi agent dan dropships sahaja, tetapi Allah kurniakan saya ilmu yang lebih besar daripada itu. Saya ada blog ini kerana ilmu daripada beliau, saya memang suka menulis so inilah antara wadah yang saya cari2 dan ianya free of charge. Alhamdulillah syukur dan terima kasih pada Allah, saya mendoakan semoga pasangan suami isteri Ummi Siti Khadijah dan Abi Azlin beroleh laba dan bahagia di dunia dan akhirat atas kemurahan hati mereka berkongsi ilmu dan pengalaman dengan saya. 
.
Mengenali Ummi Siti Khadijah hati saya tersentuh dengan watak seorang wanita yang nampak keibuan, ketokohan seorang usahawanita yang berjaya malahan masih meletakkan Allah dan keluarga sebagai aspek no.1 dalam dirinya. Beliau sangat bersemangat dan mesra orangnya. Walaupun beliau diberikan kedudukan yang mulia sebagai surirumah dan ada suami yang mampu menanggung kehidupan beliau namun tidak pernah mensia-siakan masa dan kelebihan yang Allah berikan pada seseorang wanita untuk tidak menggunakannya ke arah kejayaan. Meskipun semasa suaminya mempunyai pendapatan yang baik namun beliau tetap ada usaha sendiri berniaga dari rumah dengan pelbagai bisnes sebelum menjadi stokis DeXandra. 
.
Apabila suaminya diberhentikan kerja kerana kegawatan ekonomi ianya tidak menjadi satu isu yang besar kerana pada ketika itu Ummi Siti Khadijah telah menunjukkan kejayaan sebagai salah seorang stokis yang berjaya. Hati suami juga terbuka untuk menyokong beliau sepenuh masa untuk lebih menjayakan DeXandra serta menambah keyakinan seorang suami akan kelebihan yang ada pada isteriya, inilah yang dikatakan "SUCCESS IS SPEAK BY ACTION NOT BY WORDS". Ketabahan seorang ibu yang punye anak syurga ini wajar dijadikan inspirasi wanita yang ingin berjaya. Perit jerih sebelum beliau mencapai kejayaan memang sangat panjang dan sukar saya share kan semua di sini, masalah kurang support, kurang pengalaman, kurang ilmu, kekangan masa dan pelbagai lagi telah beliau lalui dahulu.
.
Saya belajar daripada beliau bahawa kejayaan itu boleh menjadi milik sesiapa sahaja jika kita menghendakinya tapi kena ada sifat dan ciri yang sebutkan di atas. Rezeki boleh datang bergolek, rezeki juga boleh datang dari langit, rezeki juga boleh datang daripada pelbagai sumber namun rezeki yang satu ini iaitu rezeki KEJAYAAN mesti datang daripada himpunan usaha dan tindakan yang dilakukan dengan sifat dan ciri yang telah saya nyatakan di atas. KEJAYAAN pasti datang cuma masa akan menentukan bila, terus sahaja lakukan tanpa NANTI, tanpa HENTI dan tanpa TAPI. 
.
What you FOCUS will expand so FOKUS untuk berjaya maka jalan-jalan kejayaan itu akan datang sedikit demi sedikit. Saya dahulu cuma seorang dropship yang untung puluh-puluh ringgit sahaja sebulan, kemudian saya meningkat menjadi agen dengan keuntungan yang lebih baik dan sekarang saya telah berjaya menjadi STOKIS, cuma saya masih belum berjaya menjadi STOKIS YANG BERJAYA. In shaa Allah saya akan ambil semangat mereka-meraka yang berjaya kerana di sebalik kejayaan mereka juga ada pengorbanan yang mereka telah lakukan sebelum menikmati kejayaan tersebut. Jadilah di kalangan mereka yang memfokuskan diri untuk KEJAYAAN bukan sebaliknya.
.
#letpassionleadyou
#stokisdexandrabangi
#365harimencarisyurga
#menjunjungilmumencaritaqwa
#kecintaanAllahadalahdestinasi




Friday, February 23, 2018

[DE'XANDRA MENGAJARKU ERTI BAHAGIA]
.


Perjalanan kehidupan manusia tidak sama namun kita mesti yakin dan percaya apapun perjalanan yang berlaku dalam hidup ianya merupakan satu tarbiyah atau didikan Allah yang sepatutnya menjadikan kita manusia yang lebih baik. 
.
Saya ditakdirkan untuk mengalami keruntuhan rumahtangga pada penghujung 2015, dan hasil daripada perpisahan tersebut saya mengalami krisis kewangan yang sangat teruk, dibebani dengan tanggungjawab yang besar sebagai ibu tunggal, menanggung hutang yang banyak dan dilanda kesedihan yang amat mendalam. Keadaan itu ditambah dengan rumah tempat kami bernaung ialah atas nama bekas suami saya dan wang simpanan saya habis kerana kerugian perniagaan yang dijalankan oleh bekas suami. Oleh kerana perpisahan itu adalah permintaan saya, maka saya perlu gagah menghadapinya. Ketika itu hanya Allah tempat mengadu dan airmata adalah teman setia saban waktu.
.

Saya telah mengenali Puan Ernayanee Nur Julaimi sejak tahun 2014, perkenalan ringkas di surau ketika solat zuhur Program Seminar Rahsia Kuasa Minda Jutawan 2014 di Menara PGRM Cheras. Setahun kemudian saya telah mendaftar untuk menjadi dropship di bawah perniagaan original reject perfume Oshien2U sebelum DeXandra dilahirkan kerana saya amat tertarik dengan kata-kata beliau semasa saya tanyakan. 'Erna kenapa bisnes perfume berbanding baju, sedangkan kan Erna dah mulakan bisnes baju?'. Beliau menjawab 'Bisnes perfume lebih mudah kak, sebab tak perlu selalu shooting dan keep up dengan fashion terkini. Sebab biasanya gambar perfume kita boleh guna berkali-kali, kalau baju fesyen berubah dan setiap kali re stock kena shooting'. 'Senang tau kalau akak bisnes perfume kalau sambil bekerja berbanding jual baju, banyak ambik masa dan kena selalu ikuti fesyen terkini'. Saya tanya lagi 'Boleh dapat good income ke?'. 'Boleh kak, Erna dah boleh beli kereta tau dengan jual perfume aje'. 'Pastu kak ruang kecik pun cukup untuk letak perfume, takyah bilik  besar-besar'. Disebabkan perbualan tersebut saya yang memang suka bisnes mengambil keputusan untuk mendaftar dropship dengan bayaran RM150, namun sayangnya saya tidak pernah menjadikannya sesuatu yang serius, kerana pada ketika itu saya dibebani dengan masalah rumahtangga dan emosi, apatahlagi kerja sebagai pensyarah yang memang mempunyai beban yang tinggi.
.

Namun apabila Allah meletakkan saya dalam situasi yang getir dengan kesempitan wang yang bersangatan di mana saya kena cari ekstra income untuk membayar duit peguam syariah, saya kena membayar pinjaman Bank Rakyat, saya kena langsaikan hutang kad kredit yang dibuat atas hutang perniagaan yang gagal, saya kena membayar duit gadaian emas, saya kena sediakan yuran pendaftaran tahunan persekolahan anak, baju sekolah dan buku-buku, saya kena bayar insuran, saya kena bayar bil-bil, saya kena bayar duit ansuran kereta, saya kena isi minyak kereta, saya kena bayar yuran penduduk yang tertunggak, saya kena menanggung keperluan anak-anak dan juga menampung keperluan diri. Ketika itulah turning point berlaku dalam hidup saya.
.

Pada ketika itu air mata, murung dan kesedihan sudah tiada gunanya lagi kerana apa yang lebih perlu ialah mencari jalan mengatasi masalah tersebut. Saya teringatkan Puan Ernayanee Nur Julaimi yang sentiasa memandang sesiapa dengan rasa KASIH dan SAYANG. Saya hilangkan rasa malu dan cuba meminjam RM10 000.00 daripada Puan Erna. Namun apabila Puan Erna mengatakan ‘Kak, Erna boleh bagi pinjam tapi tak dapat banyaklah sebab duit bisnes actually banyak kepada nak bangunkan DeXandra bukan untuk Erna pun’. Tetiba rasa sangat malu pada Erna, pada diri sendiri dan juga pada Allah. Namun sebelum tu saya sempat meminjam sebanyak RM4000.00 daripada kakak saya Rohayah Talip untuk yuran pendaftaran tahunan anak2 yang bersekolah di Al Amin Bangi. Saya juga sempat meminjam daipada adek saya Roselimah Talip sebanyak RM2000 untuk bayar muka peguam Syariah yang berjumlah RM11 000.00.
.

Saya mula dekat balik dengan DeXandra pada pertengahan 2016. Saya mula aktif balik sebagai agen, dan walaupun order tak banyak tapi saya tetap cuba re stock 40 botol sebulan. Alhamdulilah bisnes sebagai agen semakin baik. Pada April 2016 saya mula kembali mempromosikan DeXandra melalui facebook tapi tanpa ada ilmu yang cukup, dan adalah terjual 3 – 10 botol sebulan, sangat slow, sales bulanan adalah dapat RM200+ ke RM300+. Masih ingat saya re-stock di HQ sebanyak 40 botol untuk syarat sekali re stock agen dan bila ambik stock terserempak dengan Puan Iffah Sharifah dan Puan Norain Akib yang re stock 500 ke 1000 botol. Alahai..…adehhh malu sesangat, macam kecik sangat diri ni, terguling-guling maruah rasanya. Dan setiap kali saya re stock beberapa kali saya bertemu seorang insan yang sangat istimewa iaitu Puan Louis Jumpot atau saya lebih senang memanggil beliau Wes.
.

Setiap kali jumpa dia mesti bagi tips untuk saya terus maju sebagai agen, dia berkongsi tips walaupun saya bukan agen beliau. Pada ketika tu saya adalah agen di bawah HQ DeXandra. Satu hari dia mempelawa saya untuk menjadi agen di bawah beliau dan disebabkan inilah saya mula berkembang lebih jauh dan berupaya mendapat sales yang lebih baik sehingga layak memohon menjadi stokis DeXandra Bangi pada Februari 2017. Alhamdulillah. Saya sangat bersyukur kerana Allah gerakkan hati saya untuk memilih berniaga bersama DeXandra, di sini saya bertemu ramai sahabat yang baik dan sangat positif, mendapat sokongan moral dan spiritual, pelukan mesra, doa, kata kata semangat, tips niaga, kasih sayang dan juga persaudaraan yang utuh.
.

Kami adalah competitors tapi kami saling bantu membantu kerana kami percaya rezeki Allah Maha Luas dan tidak miskin kita kerana membantu orang lain. Aura Founder dan CEO DeXandra yang melebarkan sayap niaga dengan kasih sayang meresap masuk ke dalam Empayar Keluarga DeXandra. . Apa yang paling penting selain dengan DeXandra membawa saya keluar daripada kemelut kewangan di mana sekarang saya sudah boleh membayar pendahuluan untuk membeli rumah baru, selesai membayar semua hutang kad kredit, dapat menebus sebahagian gadaian emas, melunaskan bayaran yuran guaman Syariah, memberi kehidupan yang lebih baik kepada anak-anak, mampu menyelesaikan yuran persekolahan anak anak dan pelbagai lagi, DeXandra juga memberi saya rasa yang saya tidak perolehi sejak kecik iaitu rasa BAHAGIA. BAHAGIA yang saya cari selama ini rupa rupanya ada pecahannya dalam Dunia Niaga DeXandra. Hanya yang merasai nikmat bersama DeXandra akan memahaminya. 
.

Kami umpama keluarga besar yang berjihad ekonomi untuk membantu lebih ramai insan yang perlukan sokongan ekonomi dan juga membantu insan lain menambah nilai dalam kehidupan. Allahumma Yasir untuk perjalanan niaga DeXandra dan moga ianya terus gah dan kekal di persada dunia niaga. Aaamiin ya rabbal alamin.
.
#letpassionleadyou#stokisdexandrabangi#365harimencarisyurga#menjunjungilmumencaritaqwa#kecintaanAllahadalahdestinasi







[KEYAKINAN DIRI BOLEH DIBINA]
.
Saya masuk sekolah sangat lewat. Orang lain dah nak periksa penggal pertama saya baru dapat masuk sekolah darjah 1 Sek Keb Kg Melayu Raya. Itupun kak ana Rohayah Talip yang daftarkan hasil daripada peringatan guru besar sekolah ketika tu Cikgu Said Bajuri. So baju sekolah pun takde, kasut sekolah pun tak ada apatahlagi buku tulis atau buku teks. Memang takdelah. So saat sampai ke sekolah adalah saat paling menakutkan. 
.
Saya tak pernah bersekolah tadika so memang tak reti bergaul dengan rakan sebaya tapi bab matematik dan bahasa Melayu settle sebab hari hari arwah bapak ajar kami kat rumah menulis, membaca dan mengira. Belajar masa bapak balik menoreh getah. Seronok belajar dengan arwah bapak sebab bapak suka buat lawak dan tak garang langsung. 
.
Bila sampai sekolah kak ana bawak jumpa guru besar dan masa kak ana tinggalkan dengan guru besar masuk kelas, rasa macam nak pengsan. Cikgu besar bawak jumpa guru darjah satu, cikgu Johari. Cikgu tanya 'Noraini nak kelas atas atau bawah? Saya terus jawab 'Kelas atas" (sebab nak sangat masuk kelas bertingkat-tingkat)" Tapi rupa rupanya cikgu tanya untuk masukkan ke kelas A atau B. Dan sebab saya pilih kelas atas, cikgu masukkan ke Darjah satu A. 
.
Saya diletakkan di sebelah Nordin dan Saadiah (anak cikgu Saat, cikgu yang mengajar di sekolah tu). Saya duduk tengah tengah, diam aje tak reti nak sembang tapi Saadiah baik selalu tegur dan akhirnya boleh bercakap dengan Saadiah. Tapi masalah timbul bila rasa nak buang kecil dan besar, langsung tak berani nak cakap dengan cikgu, nak angkat tangan pun takut. Masa Saadiah ada, dialah yang tolong tapi bila Saadiah takde siksanya. Hingga tak tahu bila tiba2 Saadiah takde, rupanya sebab ikut ayah dia pindah sekolah. Sedihnyer. 
.
Apa yang jadi ialah hari hari saya buang air kecil dalam kelas sebab takut nak beritahu cikgu nak ke bilik air. Akhirnya cikgu Johari perasan sebab bau mesti hancingkan. Aduhhh malunya bila cikgu tegur. Cikgu kata 'Noraini nanti bila bila nak keluar angkat aje tangan dan tak payah beritahu cikgu terus aje keluar kalau takut nak cakap'. Sejak hari tu dah berani sikit keluar tapi berani cuma masa cikgu Johari mengajar dengan cikgu lain masih takut.
.
Macam tak sangka, sayalah budak yang hari hari dulu buang air dalam kelas. Sayalah budak yang nak angkat tangan jawab soalan cikgu pun takut, nak bermain dgn kawan2 pun takut sampai dah darjah empat baru berani join budak2 lain main zero point, belon acah, teng teng dll. Nak beli makanan kat kantin pun takut...semua takut. Tapi akhirnya sayalah budak kampung yang dapat belajar hingga ke luar negara. Sayalah budak yg sering jadi wakil sekolah untuk pertandingan akademik. Itupun hasil kata kata cikgu Siti "Noraini kalau nak jadi murid yang barakah ilmunya kena ikut cakap cikgu, bila cikgu suruh jadi wakil sekolah, kena patuh".so nak tak nak pergilah pertandingan2 antara sekolah tu.
.
So bagi sape2 yang ada rasa inferiority complex, rasa tak yakin diri, rasa takut2 dan rasa tak upaya janganlah risau sebab semua tu boleh diatasi. Hanya berikan PELUANG dan MASA kepada diri sendiri untuk berubah. Kita pasti boleh, in shaa Allah.
.
#letpassionleadyou
#stokisdexandrabangi
#365harimencarisyurga
#menjunjungilmumencaritaqwa
#kecintaanAllahadalahdestinasi

Thursday, February 22, 2018



[IKTIBAR KISAH BENAR: AIRMATAKU DAN DARJAT]
.
DARJAT? Apa itu darjat? Darjat kalau ikut istilah Dewan Bahasa dan Pustaka ialah martabat iaitu mencerminkan tingkatan atau taraf kedudukan dalam masyarakat (sebagaimana yang biasanya ditentukan atau dipengaruhi oleh asal keturunan, kekayaan, pengaruh, dan sebagainya). Darjat boleh berubah-ubah dan boleh ditingkatkan dan diturunkan.
.
Saya ingin berkongsi cerita mengenai darjat dan sesungguhnya kita sebagai Muslim kena berpegang teguh dengan janjian Alllah bahawa 'Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu bangsa/ kaum kecuali mereka merubahnya sendiri'. Maka berusahalah meningkatkan darat masing-masing. Dan pelbagai darjat ini memang Allah ciptakan atas satu tujuan iaitu untuk keharmonian dan kesejahteraan dengan firmanNya:
.
'Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah mereka yang lebih bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan amalan kamu)'. Surah al-Hujurat: Ayat 13

.
So, hikmah perbezaan:
1. Manusia dapat berkenalan dan tolong menolong dalam kehidupan
2. Darjat tertinggi ialah yang paling taqwa, bukan sebab kaya, berharta dan berkuasa.
3. Manusia bertanggungjawab antara satu sama lain bagi membina ummah yang kuat
4. Manusia perlu menggunakan kelebihan masing-masing dengan jalan taqwa 
5. Manusia boleh mendapat kemuliaan di sisi Allah tidak kira ianya miskin atau kaya
.
Berbalik kepada kisah saya. Semalam semasa saya sedang berpeluh mengangkut stok DeXandra yang banyak saya terserempak dengan salah seorang sahabat saya yang juga merupakan ibu tunggal. Namun daripada segi harta beliau lebih bertuah kerana arwah suaminya ada meninggalkan harta dan juga bantuan kewangan, sedangkan saya struggle dengan kesan hutang dan juga terpaksa fight di mahkamah untuk nafkah anak-anak, saya kerja keras buat dua kerja berniaga dan juga makan gaji untuk mencukupkan keperluan dan meningkatkan taraf hidup kami anak-anak. Saya tegur tentang kereta yang saya sangkakan kereta lama ditukar baru (kategori kereta mewah juga). Katanya, itu kereta baru beli bukan tukar kereta sebab nak selesa travel untuk kajian PhD beliau. Masa tu saya tersentak sekejap kerana, kereta satu pun saya dah rasa beban nak bayar dan bila compressor aircond + water pump kena tukar saya tangguhkan sebab RM3000.00 kosnya terlalu besar buat saya dan saya biarkan aje kereta saya berbunyi2 disebabkan masalah itu. Saya sambung angkut barang-barang DeXandra dan dalam lif tiba-tiba airmata menitis mengingatkan betapa saya perlu fighting dan keletihan untuk hidup sedangkan kehidupan beliau agak selesa hingga boleh beli kereta baru lagi. Sepanjang petang hingga malam saya masih dihantui oleh kesan peristiwa itu. Namun...
.
Pada sesi coaching agen dan dropships DeXandra team saya malam tu, airmata saya menitis lagi apabila salah seorang agen saya berkata 'Akak, saya tak ada kereta kak, nak maju ke hadapan pun susah, sentiasa tunggu suami nak minta hantar sana sini. Itupun naik motor aje, nak bawak barang-barang pun susah'. Mudah bagi saya nak imagine sebab saya orang susah dulu, terpaksa naik motor buruk nak gi sekolah sebab arwah bapak tak mampu nak bayar tambang bas untuk kami adik beradik. Motor buruk tu selalu rosak kat tengah jalan, bapak ajar nanti kalau motor mati, gosok2 plug dia, pasang balik dan start semula motor. Kadang-kadang motor tu hidup balik tapi kadang-kadang tak hidup balik, so kami letak motor tepi kebun getah estate dan kami duduk dalam kebun getah tunggu bapak ambik (menyorok sebab takutkan). Kadang-kadang sampai pukul 11 malam baru arwah bapak ambik sebab arwah bapak kerja kilang sampai pukul 8.00, balik dalam pukul 9.00 lebih, nak cari-cari kami lagi kami kat mana tu yang kadang2 sampai pukul 11.00 malam.  So, saya boleh imagine kesusahan agen saya tu. Allahu akbar, saya terus istighfar berkali-kali dan mohon ampun pada Allah, kenapa saya boleh merasa kesedihan sedangkan ada ramai lagi yang jauh lebih susah daripada saya. Tidak bersyukurnya saya dengan nikmat Allah dan seolah2 mempersoalkan rezeki yang Allah telah kurniakan pada saya.
.
Saya belajar banyak perkara daripada peristiwa tersebut dan saya mohon Allah bukakan jalan bagi saya untuk membantu agen dan dropships saya yang kebanyakannya memang orang susah agar mereka boleh hidup selesa seperti orang lain. Moga Allah jadikan kita golongan yang sentiasa prihatin terhadap kesusahan orang lain dan sentiasa mensyukuri semua nikmat yang Allah beri kerana apa yang kita kejar dalam hidup ialah Kemuliaan di sisi Allah s.w.t dan bukannya kemuliaan di sisi manusia.
.
'Ya Allah jadikan kami hambaMu yang paling banyak bersyukur dan memberi manafaat kepada insan dan makhluk lain' Aamiin aamiin aamiin ya rabbal alamin ya Mujib'
.
#letpassionleadyou
#stokisdexandrabangi
#365harimencarisyurga
#menjunjungilmumencaritaqwa
#kecintaanAllahadalahdestinasi
.

Wednesday, February 21, 2018



[SIMPTOM ORANG BERJAYA - SATU KEMESTIAN]
.
Setelah menyelurusi dunia akademik dan dunia usahawan, saya temui ramai mereka yang berjaya di dalam dunia masing-masing, ada sebagai Prof. Emeritus, Profesor, Jutawan atau Multijutawan. Anak kampung miskin selekeh sekarang seorang profesor yang disegani, menjadi coach dalam pelbagai bidang, menjadi jutawan yang bisnesnya berkembang maju serata dunia, menjadi seorang tokoh yang disegani serta tersohor. Gah kita lihat dan sangat merasakan 'Wah bertuahnya mereka ini".
.
Apabila saya dekati mereka ini, mula mengenali dan mula memahami perjuangan mereka sebelum berada pada posisi sekarang saya belajar sesuatu dalam hidup. Bahawa kejayaan bukan semudah yang disebut tetapi kejayaan adalah hasil daripada satu perjalanan yang penuh dengan ranjau, onak, duri, kesakitan, kepedihan. tangisan dan disertai dengan JATUH dan BANGUN. Namun apa yang membezakan mereka ini dengan orang lain ialah BERAPA KALI MEREKA BANGKIT DARIPADA KEJATUHAN.
.
Alhamdulillah saya juag belajar sesuatu daripada mereka, bahawa inilah dia CIRI ORANG BERJAYA yang kita perlu ada jika kita juga mahukan kejayaan dalam hidup kita:
.
1. Sangat CINTA PADA ILMU, mereka sanggup korbankan duit untuk ilmu, senantiasa mencari peluang untuk tingkatkan ilmu, dan mereka fokus pada ilmu ke arah impian yang mereka dambakan. So jika anda suka ILMU, tahniah yang anda ada ciri orang BERJAYA.
.
2. Sangat COMMITTED, atau sangat memberikan kerjasama terhadap impian yang ingin digapai. Guru saya #azzamsabtu berkata 'Ramai orang yang inginkan kejayaan tetapi hanya 5% yang berjaya kerana komitmen yang mereka sanggup berikan" Formula kejayaan kepada golongan 5% ini ialah ; Mempunyai Impian + Sangat Mahukan kejayaan + Komitmen. Namun bagi yang 95% tadi 'Mempunyai Impian + Sangat Mahukan kejayaa - Komitmen, bermaksud ada impian dan keinginan untuk berjaya tetapi tak sanggup berikan komitmen.
.
3. Fast ACTION. Mereka tidak menunggu2 atau menangguhkan sesuatu untuk bertindak. Mereka terus melakukan tindakan untuk mendapatkan results. Ada Ilmu terus apply kerana betullahkan 'Ilmu tanpa amal itu sia-saia' dan Saidina Ali r.a mengatakan 'Masa jika kamu tidak memotongnya, maka ianya yang akan memotong kamu' Maksudnya mensia-siakan waktu tanpa melakukan cepat tindakan yang wajar.
.
4. Menjaga AURA POSITIF. Mereka sangat pandai memilih bahan bacaan, audio, visual dan 'circle' atau pergaulan yang negatif. Kerana apa yang ada di sekeliling kita akan mempengaruhi dan mencerminkan diri kita. Lihat sahaja kawan-kawan yang mereka pilih dan lihat sahaja apa yang mereka baca, lihat dan dengar, semuanya perkara yang positif. Jika ada yang negatif datang mereka cepat2 menjadikannya positif.
.
5. Bijak memberi RESPON TERHADAP MASALAH. Semua manusia dilanda masalah tetapi yang paling membezakan mereka yang berjaya dan tidak berjaya ialah bagaimana kita bertindakbalasa terhadap masalah tersebut. Ianya faktor penentu juga kepada kejayaan dalam hidup kita.
.
6. KEYAKINAN YANG SANGAT TINGGI. Apabila mereka telah meletakkan sesuatu maka mereka sangat yakin tentang kejayaan perkara itu dan pasti komitmen yang terhasil juga akan tinggi jika ianya lahir daripada keyakinan yang tinggi. Betul betul?.
.
7. Pergantunggan kepada ALLAH lebih tinggi berbanding pergantungan kepada manusia atau lainnya. Orang yang berjaya secara hakiki ialah mereka yang meletakkan pergantungan kepada Allah mengatasi segala-galanya kerana Allah sentiasa ada tetapi manusia datang dan pergi, so selamatlah mereka untuk berjaya kerana Allah senantiasa ada.
.
8. Mereka mempunyai BIG WHY atau mtalamat yang jelas kenapa aku harus berjaya. Kerana big why yang jelas inilah menjadikan mereka lebih kuat, fokus dan komit untuk mencapai kejayaan.
.
9. Mereka mempunyai MENTOR atau guru-guru yang mursyid, guru-guru yang layak dan punya kredibiliti, proven kejayaan mereka. Kerana Nabi s.a.w kan pernah mengatakan bahawa 'Menuntut ilmu tanpa guru itu sesat'. So kita semua perlukan guru yang betul untuk menuju kejayaan dengan lebih cepat dan tepat.
.
10. Mempunyai BACK UP atau SOKONGAN. Sokongan yang kita perlukan ialah mungkin daripada suami, isteri, anak2, mentor kita, guru kita, circle atau kumpulan sokongan dan sebagainya yang akan membuatkan perjuangan kita lebih mudah dan kuat. Maka carilah sokongan dalam perjuangan kita agar kita lebih deras dan bersemangat dalam bertindak.
.
11. Mereka PEMURAH dan suka sharing apa-apa sahaja seperti ilmu, pengalaman, sedekah duit dan harta, Masa dan pelbagai lagi yang saya lihat ianya sangat memberi impak kepada kejayaan dan keberkatan hidup mereka. Allahu akbar kekadang saya tengok orang yang perasan berjaya ni lagi kedekut berbanding mereka yang sangat berjaya.
.
Alhamdulillah inilah antara yang saya pelajari daripada mereka yang berjaya untuk kita juga amalkan agar kejayaan juga menjadi milik kita dalam apa jua yang kita impikan. Aamiin aamiin aamiin ya rabbal alamin Ya Mujib.
.
#letpassionleadyou
#365harimencarisyurga

Tuesday, February 20, 2018

TIPS NAK BINA SEMANGAT



Saya hari ni nak share something dengan uolls. Saya dapat nasihat yang sangat best yang boleh melegakan mana mana hati yang rasa dia gagal capai target. Mesti ramai yang macam ni kan? Yes bukan senang kita nak capai target dalam apa apa perkara pun.
.
Sepanjang kehidupan kita ada macam macam targetkan. Target nak dapat achieve sales, target nak dapat beli kereta, target nak beli rumah dan macam2 target lain termasuk saya nak capai target 52kg dan nak target sales team 50k. Target tu saya bina dan saya cuba usahakan tapi masih belum tercapai kerana pelbagai mehnah, halangan dan cabaran yang datang. Rasa nak give up pun ada.
.
So pagi pagi ni bila timbang berat target berat tu masih ada beberapa lagi kgs nak kena turun. Beritahu coach yang saya macam frust sebab macam tak capai target dan coach saya Sabariahwatie Mat Yusof kata “Jgn fokus jangka pendek..memang gigil nak kejar..Dr. focus terus sampai Ramadan.. InsyaAllah Raya nanti boleh dpt 52kg..so x stress sgt...jgn jd sprinter..jd lah Marathon😍😍”. Wah bestnye nasihat beliau tu terus buat saya rasa lega. Semangat pun terus naik semula.
.
Serupa juga tentang sales DeXandra, saya usahakan setakat terdaya tapi masih belum capai target tapi teringat pesan sahabat saya Papa Jefri Wongkoi “Saya nampak usaha Prof, teruskan, tak pe biar graf kita naik secara perlahan-lahan bukan secara menegak, ianya lebih selamat dan selesa”. Mak stokis saya Louis Anak Jumpot pun selalu kata “Kak buat aje, nanti akan sampai juga yang penting buat, biar SLOW tapi Jangan sesekali STOP”. 
.
Dalam kerjaya pula Dr Hamidun Bunawan selalu bagi saya semangat ‘Sikit jer lagi Dr. Buat aje, sikit jer lagi tu dah boleh apply full profesor” you know what perkataan Sikit jer Lagi tu is a very POWERful Word untuk naikkan semangat kita. Ianya menjadikan perjalanan yang susah nampak mudah. Betul betul?
.
Alhamdulillah kalau kita cari nasihat dan pandangan pada orang betul pasti semangat kita tak akan luntur dan kurang. So nasihat saya pada diri sendiri dan sahabat semua. Jika tidak mahu patah semangat dan Broken Heart:
1. Minta nasihat pada orang yang betul iaitu orang yang sudah lalui pengalaman yang sama so mereka bercakap berdasarkan KISAH BENAR dan mereka sangat memahami kerana mereka telah lalui dahulu perjalanan tersebut.
2. SLOW tak pe tapi NEVER STOP
3. Tak perlu jadi SPRINTER kalau anda tak mampu tapi Jadilah seperti perlumbaan MARATHON yang ada perjalanan yang lebih jauh, perlahan tapi tetap capai TARGET yang dicipta citakan. Less stress dan tidak runtuhkan semangat anda.
5. Set your GOAL and timeline tapi if tak capai ADJUST bukan give up ye.
6. Cari the powerful words untuk pengaruhi diri sendiri dan juga orang lain menjemput KEJAYAAN dan capai target dalam kehidupan. Nanti saya sharekan.
.
So moga Allah permudahkan perjalanan kita masing2 untuk capai target dalam kehidupan.
.
Terima kasih untuk guru guru pembakar semangat dan pernah bagi saya 'Sparkling spirit' untuk tidak patah semangat.
.

Boleh ke fb saya
https://www.facebook.com/noraini.talip.7

#letpassionleadyou
#365harimencarisyurga
#agendandropshipdexanradiperlukan

Doa Ashabul Kahfi

Perkongsian Ustazah Asma Harun pada pagi 22.11.21 mengenai Doa Ashabul Kahfi daripada Ayat 10 Surah Al Kahfi. Jika kita ditimpa masalah bes...